KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 790 jam tangan pelbagai jenama disyaki tiruan, kotak dan beg kertas berjenama dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyimpanan dan penjualan produk berkenaan dengan nilai sitaan keseluruhan RM790,600.
Ia selepas Bahagian Penguatkuasa, KPDN Putrajaya melakukan pemeriksaan dan serbuan ke atas sebuah premis di sekitar Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu.
Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, serbuan yang dijalankan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang dilaksanakan hasil daripada maklumat risikan yang dilaksanakan hampir sebulan.
Katanya, premis berkenaan dipercayai dijadikan sebagai lokasi penyimpanan dan penjualan pelbagai jam tangan berjenama yang disyaki tiruan.
“Siasatan awal mendapati kegiatan ini dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus premis.
“Suspek yang berumur 30- an ini dipercayai orang yang bertanggungjawab dalam keseluruhan operasi termasuk pengurusan premis, stok barangan dan aktiviti penjualan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azman, suspek menjalankan kegiatan penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan secara tertutup di dalam premis dua tingkat.
Bahagian bawah premis digunakan sebagai bengkel pembaikan dan servis jam tangan, manakala tingkat atas dijadikan tempat penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan bagi mengaburi aktiviti sebenar.
Premis itu juga dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh dari dalam serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
Aktiviti penjualan dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu sahaja bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan. Suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik yang sah. -MalaysiaGazette















