Menteri Pertahanan , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS SANTA BARBARA (LCS 32) dan USS TULSA (LCS 16) di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac lalu merupakan persinggahan sementara atau port of call.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, ia untuk urusan logistik sebelum dua kapal berkenaan meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.

Jelas beliau, port of call oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.

Ujarnya, ia merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan (confidence building) serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.

“Tujuan utama port of call adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Khalid, Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.

Jelasnya, setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Malaysia.

Tambah beliau, port of call seperti itu juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Katanya, ia bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan (port of call), antaranya Australia, Bangladesh, Britain, Brunei, China, India, Indonesia, Itali, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Perancis, Singapura dan AS.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan tuntas serta telus berhubung kehadiran aset tentera laut AS di perairan Malaysia, khususnya di Pulau Pinang, sebagaimana dilaporkan media.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kehadiran aset berkenaan di perairan negara sebagaimana dilaporkan, menimbulkan persoalan sama ada Malaysia berperanan memudah cara atau terbabit secara tidak langsung dalam operasi ketenteraan berkait konflik negara luar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast