KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tokoh korporat, Victor Chin Boon Long yang dikaitkan dengan siasatan dakwaan `mafia korporat’ kini berada di luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan individu berkenaan sedang dijalankan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan dan kita dapati ada beberapa perkara yang perlu diambil tindakan berdasarkan undang-undang AMLA dan semua sedia maklum bahawa dia berada di luar negara ketika ini.
“Jadi usaha sedang giat dijalankan untuk kita mendapatkan kerjasama dari banyak pihak yang berkaitan bagi siasatan kes tersebut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, polis mengesahkan serbuan dibuat di beberapa premis milik ahli perniagaan, Victor Chin, di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, Selangor.
Mohd Khalid dilaporkan berkata, serbuan bersama Suruhanjaya Sekuriti (SC) itu dilaksanakan bagi membantu siasatan kes di bawah AMLA.
Laporan media menyatakan, antara barangan berharga dirampas ketika serbuan adalah dua buah kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai tempatan dan mata wang asing, selain dokumen berkaitan siasatan.
Mengulas lanjut mengenai siasatan laporan berita Bloomberg berkenaan Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, beliau berkata individu berkaitan turut berada di luar negara.
“Kita memang telah pergi ke pejabat Bloomberg di Menara Kembar Petronas serta bertemu beberapa kakitangan dan dimaklumkan mereka yang berkaitan berada di luar negara.
“Jadi tindakan yang selanjutnya kita kena buat melalui kerjasama kerajaan antara kerajaan (G2G) bagi mendapatkan bantuan daripada pihak yang berkaitan,” jelasnya.
Sebelum ini, Bloomberg mempertahankan laporannya berkaitan dakwaan terhadap Azam yang memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, firma guaman Azam, Zain Megat & Murad dalam kenyataan memaklumkan artikel itu adalah bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab dan sangat mengelirukan.
Menurut firma itu, artikel tersebut juga telah menyebabkan kesan serius bukan sahaja kepada Azam secara peribadi, malah kepada maruah dan integriti institusi jawatan ketua agensi antirasuah itu. – MalaysiaGazette
















