KUALA LUMPUR — Ketika perang di Timur Tengah memasuki hari ke-21 dan pasaran tenaga dunia semakin bergolak, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya seolah-olah tidak terkesan dengan krisis tersebut.
Menurut beliau, konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran itu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda sekali gus memberi tekanan besar kepada bekalan tenaga global.
“Saya lihat seolah-olah kerajaan tidak terkesan dengan krisis besar dunia ini!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan, penutupan Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira 20 peratus minyak dunia telah memberi impak ketara kepada pasaran global, khususnya negara-negara Asia yang menerima hampir 90 peratus bekalan melalui laluan tersebut.
Selain minyak mentah, katanya, 20 peratus gas asli cecair (LNG) dunia serta kira-kira satu pertiga perdagangan baja global turut melalui selat berkenaan, manakala serangan ke atas loji minyak dan gas termasuk di Ras Laffan, Qatar memburukkan lagi keadaan.
“Tentunya, semua ini akan memberi kesan ketara kepada ekonomi Malaysia. Walaupun harga petrol RON95 bersubsidi kekal, kenaikan mendadak harga diesel sebanyak RM1.60 seliter dalam tempoh dua minggu merupakan satu kejutan kepada rantaian bekalan.
“Ini belum termasuk kenaikan bahan-bahan mentah di pasaran dunia serta komponen-komponen pengeluaran dan perkhidmatan lain yang terkesan akibat perang,” katanya lagi.
Radzi turut membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan pelan menyeluruh kerajaan dalam mendepani cabaran yang semakin meruncing itu.
“Walaupun konflik perang telah berlarutan 21 hari, kerajaan seolah-olah hilang punca tentang apa tindakan terbaik yang patut dilakukan.
“Tidak ada perancangan komprehensif yang diperlihatkan tentang pendekatan yang akan digunakan kerajaan bagi menangani cabaran besar ini,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini, pengumuman yang dibuat hanyalah kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen bagi dua minggu berturut-turut serta keputusan tidak mengadakan rumah terbuka rasmi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tampil dengan penjelasan dan langkah konkrit sebelum kesan krisis tersebut terus menekan rakyat dan sektor perniagaan.
Sementara itu di Pulau Pinang, Anwar membidas tindakan segelintir pihak yang terus mempolitikkan isu kenaikan harga minyak, sambil menegaskan situasi berkenaan berpunca daripada ketegangan global di luar kawalan negara.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu susulan konflik antarabangsa, semua pihak perlu memahami realiti semasa dan tidak mengambil kesempatan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. — MalaysiaGazette
















