Suasana rumah terbuka Aidilfitri di Malaysia. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Radzniwan A. Rashid

TIGA puluh hari kita berpuasa. Tetapi hanya beberapa hari Syawal sudah cukup untuk merosakkannya.

Inilah realiti yang jarang kita sedar. Perubahan besar yang dibina dengan disiplin selama sebulan boleh hilang dalam masa yang singkat jika kita kembali kepada tabiat lama.

Setiap kali Syawal tiba, meja dipenuhi lemang, rendang, ketupat, kuih raya dan pelbagai minuman manis. Tidak salah untuk menikmati juadah ini sebagai tanda meraikan kemenangan. Namun, masalah bermula apabila kita makan tanpa kawalan.
Seolah-olah “balas dendam” selepas sebulan berpuasa.

Persoalannya, kita benar-benar meraikan kemenangan, atau sebenarnya sedang merosakkan kesihatan sendiri?

Ramadan bukan sekadar ibadah menahan lapar dan dahaga. Ia adalah satu bentuk “reset” semula jadi untuk badan. Apabila kita berpuasa selama 10 hingga 12 jam, tubuh mula beralih daripada penggunaan glukosa kepada pembakaran lemak sebagai sumber tenaga. Proses ini membantu mengurangkan lemak berlebihan serta meningkatkan kecekapan metabolisme badan.

Dalam masa yang sama, berlaku proses yang dikenali sebagai autophagy, iaitu mekanisme pembersihan sel yang menyingkirkan komponen rosak dan toksik dalam tubuh. Proses ini penting untuk kesihatan jangka panjang dan dikaitkan dengan
pengurangan risiko penyakit kronik serta proses penuaan yang lebih sihat.

Ringkasnya, sepanjang Ramadan, badan kita menjalani satu proses “servis dalaman” yang sangat berharga.

Namun, semua manfaat ini boleh hilang dengan cepat jika kita kembali kepada tabiat makan berlebihan, khususnya dalam tempoh awal Syawal.

Statistik kesihatan di Malaysia menunjukkan keadaan yang membimbangkan. Hampir 1 daripada 2 rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, sekitar 1 daripada 5 menghidap diabetes, dan hampir 1 daripada 3 mengalami tekanan darah tinggi. Ini bermakna sebahagian besar masyarakat kita sudah berada dalam kumpulan berisiko tinggi untuk penyakit tidak berjangkit.

Dalam konteks ini, Syawal sering menjadi titik permulaan kepada kemerosotan semula kesihatan Ramai yang leka, makan tanpa henti dari pagi hingga malam, pengambilan minuman bergula secara berlebihan, serta gaya hidup yang kurang aktif.

Kesan perubahan ini mungkin tidak dirasai serta-merta. Namun dalam jangka masa panjang, ia boleh membawa kepada peningkatan berat badan, gangguan kawalan gula dalam darah, serta risiko komplikasi kesihatan yang lebih serius.

Sedangkan Ramadan telah membuktikan bahawa kita sebenarnya mampu mengawal diri. Kita mampu menahan lapar, mengawal nafsu, dan berdisiplin dalam kehidupan harian. Malah, ramai yang berjaya memperbaiki amalan rohani seperti membaca al-
Quran, bersedekah, dan meningkatkan kualiti solat.

Jadi, kenapa semua itu hilang sebaik sahaja Syawal tiba?

Syawal sepatutnya menjadi kesinambungan kepada perubahan yang telah dibina, bukan permulaan semula kepada tabiat lama. Ia adalah medan ujian sebenar – sama ada kita benar-benar berubah, atau sekadar “berdisiplin sementara” dalam Ramadan.

Sebab itu Islam menganjurkan puasa enam hari di bulan Syawal. Selain ganjaran pahala yang besar, amalan ini membantu mengekalkan disiplin pemakanan, kestabilan metabolik, serta keseimbangan gaya hidup yang telah dilatih sepanjang Ramadan.

Kita masih boleh menikmati juadah raya. Tetapi dengan kawalan, kesederhanaan dan kesedaran. Pilihan yang kecil seperti mengawal portion, mengurangkan minuman manis, dan kekal aktif, sebenarnya memberi kesan besar kepada kesihatan jangka
panjang.

Sebagai panduan, beberapa langkah mudah boleh diamalkan untuk mengekalkan kesihatan sepanjang Syawal. Pertama, kawal saiz hidangan – ambil dalam kuantiti kecil tetapi pelbagai, bukan berulang kali tanpa had.

Kedua, hadkan pengambilan minuman manis seperti air berkarbonat dan sirap; utamakan air kosong. Ketiga, amalkan konsep
“suku-suku separuh” dengan lebihkan sayur dan sumber protein berbanding makanan
berlemak.

Keempat, kekalkan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan kaki selepas makan atau ziarah rumah ke rumah. Kelima, selang-selikan hari makan dengan lebih terkawal atau amalkan puasa sunat Syawal bagi membantu badan mengekalkan keseimbangan metabolik.

Syawal adalah ujian sebenar selepas Ramadan. Jangan biarkan 30 hari kita membina disiplin, hanya untuk dirosakkan dalam beberapa hari Syawal. Kemenangan sebenar bukan pada hari raya, tetapi pada kemampuan kita mengekalkan disiplin dan kawalan diri selepasnya.

Penulis adalah Panel Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan
Pensyarah Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), USIM.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast