GEORGE TOWN – Kemeriahan sambutan Aidilfitri dengan persiapan serba baharu semakin menjadi trend apabila ada yang sanggup berbelanja besar menggunakan kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (Buy Now, Pay Later- BNPL) demi memastikan sambutan raya kelihatan sempurna di mata keluarga dan tetamu
Pakaian baharu, perabot mewah dan barangan rumah dibeli dengan ansuran kecil, seolah-olah semua kemahuan boleh dipenuhi tanpa risiko.
Namun keghairahan beraya sakan sehingga membeli melebihi kemampuan akhirnya memakan diri, apabila sesetengah pengguna terpaksa menanggung ansuran bertindih selepas Aidilfitri serta disenarai hitam kerana gagal melunaskan bayaran.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Aina, 29, mengakui dia menggunakan BNPL untuk membeli pelbagai kelengkapan raya kerana mahu menyambut Aidilfitri dengan lebih bergaya.
“Saya guna BNPL untuk beli beberapa pasang baju raya, kasut dan juga barang rumah sebab masa tu fikir raya setahun sekali saja, jadi nak bagi nampak cantik dan lengkap.

“Tiap satu barang nampak murah sebab ansuran kecil saja, tapi lepas raya baru saya sedar rupanya ada banyak bayaran bertindih setiap bulan,” katanya.
Aina berkata, apabila dikira semula, jumlah ansuran yang perlu dibayar mencecah hampir RM600 sebulan.
“Mula ingat bayar sikit saja, rupanya selepas raya ansuran bertindih. Bila kira semua sekali memang rasa terbeban juga meskipun selepas raya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Farah, 35, berkata, dia membuat keputusan membeli perabot baharu menggunakan BNPL kerana mahu rumahnya kelihatan lebih menarik ketika menerima tetamu sempena Aidilfitri.
Katanya, dia membeli sofa dan meja makan baharu kerana mahu memberi keselesaan kepada tetamu yang datang berkunjung.
“Masa tu fikir nak bagi rumah nampak cantik sebab ramai saudara mara datang open house. Jadi saya beli sofa dan meja makan baru guna BNPL.
“Tapi selepas raya saya terlepas bayaran ansuran menyebabkan akaun disekat oleh platform BNPL selain nama pun disenarai hitam
“Bila terlepas bayaran, akaun terus disekat dan saya tak boleh guna lagi. Masa tu memang terkejut juga,” katanya.

Farah berkata, pengalaman itu membuatkan dia menyesal kerana berbelanja berlebihan semata-mata mahu nampak sempurna di mata orang lain.
“Sekarang saya rasa menyesal juga sebab beli ikut perasaan nak nampak gah saja, tapi akhirnya sendiri yang kena tanggung nama disenarai hitam dan bukan mudah proses untuk pulihkan keadaan itu,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pekerja baharu yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 24, berkata dia memilih BNPL kerana mahu memudahkan urusan membeli kelengkapan raya untuk keluarganya.
Katanya, dengan had pembelian hampir RM3,000 yang diberikan platform itu, dia dapat membeli pakaian raya untuk ibu bapa serta adik-beradiknya.
“Masa tu rasa mudah sebab boleh beli semuanya sekali gus. Baju raya untuk ibu bapa dan adik-beradik semua saya beli guna BNPL,” katanya.
Namun Amir mengakui selepas Aidilfitri, bayaran ansuran bulanan mula memberi tekanan kepadanya kerana dia masih baru bekerja.
“Lepas raya baru rasa berat sebab setiap bulan kena bayar ansuran. Bila campur dengan komitmen lain memang terasa juga,” katanya.
Untuk rekod, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong sebelum dilaporkan berkata, penggunaan kemudahan pembayaran BNPL dalam kalangan belia Malaysia menimbulkan kebimbangan apabila golongan berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40 peratus daripada semua transaksi BNPL di negara ini.
Beliau berkata, meskipun BNPL hanya menyumbang sebahagian kecil daripada hutang isi rumah, penggunaannya yang pesat, termasuk bagi barangan keperluan harian, mencerminkan cabaran pendapatan yang lebih mendalam dan wajar diberi perhatian.
Setakat 31 Disember 2025 jumlah pinjaman adalah sebanyak RM4.9 billion dan pinjaman BNPL yang tidak berbayar adalah terkawal iaitu RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman BNPL. – MalaysiaGazette
















