Aminolhuda Hassan

JOHOR BAHRU – Terdapat pihak tertentu termasuk dalam kalangan ahli politik cuba mengambil kesempatan daripada isu-isu sensitif ketika ini dengan menanamkan kebencian terhadap kerajaan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah akhirnya akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Amanah Johor menegaskan tidak perlu wujud golongan yang menyimbah minyak ke dalam api, khususnya dalam isu berkaitan perpaduan kaum dan agama.

“Negara ini memerlukan suara yang menenangkan, bukan yang mengapi-apikan keadaan,” ujar Ahli Parlimen Sri Gading itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam semangat Hari Raya Aidilfitri yang membawa mesej kemaafan dan penyatuan, Amanah Johor menyeru semua pihak agar kembali kepada nilai-nilai murni, mengutamakan dialog, saling menghormati serta menolak segala bentuk provokasi.

Amanah Johor juga katanya, mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mempertahankan keharmonian negara kerana kestabilan sosial adalah asas penting kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, Amanah Johor menzahirkan komitmen untuk terus menyokong usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menolak politik kebencian yang hanya merugikan masa depan negara.

“Amanah Johor memandang serius beberapa episod kebelakangan ini yang memperlihatkan tindakan segelintir pihak yang cuba menggugat keharmonian masyarakat majmuk,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor.

Perbuatan tersebut katanya, adalah jelas tidak mencerminkan semangat Malaysia yang berteraskan toleransi dan saling menghormati.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast