ISTANBUL – Susulan serangan terbaharu Iran, Arab Saudi mengisytiharkan atase tentera Iran dan penolongnya serta tiga lagi kakitangan Kedutaan Iran sebagai persona non grata.
Serentak itu mereka telah diberi tempoh 24 jam untuk meninggalkan negara itu.
Dalam satu kenyataan lewat Sabtu, Kementerian Luar Arab Saudi mengecam serangan Iran terhadap negara-negara Majlis Kerjasama Teluk.
Serangan Iran yang menyasarkan Arab Saudi disifatkan sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap semua konvensyen antarabangsa berkaitan, prinsip kejiranan baik serta penghormatan terhadap kedaulatan negara”.
Ia juga melanggar “Perjanjian Beijing, Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu No. 2817, dan bercanggah dengan persaudaraan Islam serta nilai dan prinsip agama Islam yang sering dilaungkan oleh pihak Iran, sekali gus mengesahkan ia hanya kata-kata yang tidak diterjemahkan dalam tindakan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menyatakan, serangan berkenaan akan memberi kesan “mendalam” terhadap hubungan dua hala, sama ada kini mahupun pada masa hadapan, sambil menegaskan kesungguhan kerajaan untuk mengambil langkah perlu bagi melindungi kedaulatan dan keselamatannya.
Langkah itu menjadikan Arab Saudi negara kedua mengambil tindakan sedemikian sejak perang bermula pada 28 Februari.
Awal minggu ini, Qatar mengusir atase tentera dan keselamatan Iran selepas peluru berpandu Iran menyebabkan kerosakan besar kepada kemudahan gas asli cecair (LNG) Ras Laffan.
Permusuhan di rantau itu semakin memuncak sejak serangan United States dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari, dengan Iran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu berulang kali yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat. – Agensi
















