Seorang lelaki ditahan kerana membakar mercun secara cuai dan berbahaya atas jalan raya.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang lelaki membakar mercun secara cuai dan berbahaya atas jalan raya membawa padah apabila ditahan polis selepas videonya tular dalam media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 53 saat itu yang dimuat naik oleh akaun Kedah Version semalam.

“Siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di kawasan Seri Alam pada 18 Mac lalu pada pukul 11 malam.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, pukul 11 malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai melibatkan bahan letupan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan teliti dan adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast