KUALA LUMPUR – Harimau Malaya di pasaran gelap dianggarkan bernilai RM600,000 hingga RM1 juta, menjadikannya sebagai sasaran permintaan yang tinggi di luar negara.
Harimau belang pula menjadi mangsa utama aktiviti perdagangan haram hidupan liar disebabkan permintaann luar biasa di pasaran gelap untuk mendapatkan kulit, daging, kuku, taring serta tulangnya.
Beruang matahari, harimau kumbang, harimau dahan dan tenggiling pula terkenal dalam kalangan pemburu haram kerana penjualan bahagian hidupan liar tersebut sangat menguntungkan di pasaran gelap Vietnam dan China.
Peningkatan mendadak kegiatan pemburuan dan
penyeludupan hidupan liar telah menyebabkan haiwan berkenaan berada di ambang kepupusan sekiranya jenayah rentas sempadan tersebut tidak ditangani secara berkesan.
Hidupan liar merupakan mangsa bisu (silent victim) yang tidak mampu mempertahankan diri ketika ditangkap, dikurung atau dijerat oleh penyeludup hidupan liar.
Haiwan berkenaan tidak mampu melawan sewaktu dicederakan oleh pemburu yang tidak berperikemanusiaan.
Apatah lagi untuk bertindak sendiri mengambil tindakan undang-undang ke atas penjenayah-penjenayah tersebut, demikian antara hujah pihak pendakwaan dalam kes tiga warganegara Vietnam yang didakwa menyimpan hampir 1,000 bahagian hidupan liar tanpa permit sah.
Oleh yang demikian, sokongan mahkamah diperlukan untuk memberikan hukuman setimpal agar mesej yang jelas dapat disampaikan kepada penjenayah-penjenayah bahawa perlindungan terhadap hidupan liar wajar dilaksanakan tanpa sebarang kompromi.
Hujahan pendakwaan itu terkandung dalam penghakiman bertulis setebal 113 muka surat yang dimuat naik dalam laman web kehakiman pada 12 Mac lalu.
Pada 19 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM128.9 juta atau penjara lapan tahun enam bulan jika gagal membayar denda selepas mendapati mereka bersalah atas 15 pertuduhan.
Hakim Maimoonah Aid turut menjatuhkan hukuman penjara di antara 15 bulan hingga 12 tahun terhadap Bui Thi Ngan, 56 dan adiknya, Bui Van Noi, 48, serta Bui Van Anh, 38.
Menurut keterangan kes, ketiga-tiga tertuduh didapati menyimpan hampir 1,000 bahagian pelbagai spesies haiwan antaranya tenggiling dan beruang matahari.
Turut disimpan ialah harimau belang, harimau kumbang, harimau dahan, kambing gurun, kucing tulap, gajah Asia, babi bodoh, babi hutan, serigala, landak raya, kijang dan ular yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesalahan dilakukan di sebuah premis kediaman di Jalan Sungai Lembing, Kampung Sungai Charu, Panching pada 7 malam, 15 November 2023.
Menurut keterangan kes, anggota serbuan terdiri daripada 10 anggota Perhilitan dan enam anggota Pasukan Gerakan Khas 69 Komando tiba di tempat kejadian dan menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Siasatan mendapati, kesemua tertuduh tidak mempunyai lesen dan permit khas bagi menyimpan bahagian hidupan liar yang dilindungi.
Keterangan turut menyatakan, pemantauan dan risikan dibuat selama tiga bulan di luar pagar premis tersebut serta individu yang keluar masuk di situ sebelum serbuan dilakukan.
Penghakiman bertulis itu turut menyatakan, bahagian hidupan liar bukan dibiar bergelempangan di ruang tamu begitu sahaja.
Sebaliknya, fakta kes jelas menunjukkan bahagian-bahagian itu disorok di dalam stoking, cawan tembikar, bekas kaca, bagasi, peti ais plastik dan pelbagai tempat tersorok yang lain.
Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati barang-barang kes kebanyakannya telah ditemukan di dalam dan di sekitar premis yang didiami oleh tertuduh-tertuduh yang jelas menunjukkan perbuatan menyimpan.
Fakta juga jelas menunjukkan mereka mengetahui kewujudannya dan menyimpannya di tempat yang selamat (supaya tidak rosak, tidak hilang dan lain-lain).
Bagaimanapun, tertuduh-tertuduh ketika membela diri menyatakan mereka tidak mengetahui bahagian haiwan liar itu disimpan di premis berkenaan kerana tempat itu turut didiami oleh individu lain.
Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 68(1)(b) Akta 716 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022, serta Seksyen 60(1)(b) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta sama.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Amanina Mohamad Anuar mewakili pendakwaan manakala peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin yang mewakili ketiga-tiga tertuduh. – MalaysiaGazette
















