KOTA TINGGI – Polis menahan 12 lelaki tempatan ditahan kerana terlibat dalam kejadian rusuhan menggunakan senjata di Taman Kota Jaya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.57 pagi.
“Susulan itu sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi memberkas 12 lelaki berusia 20 hingga 42 tahun antara pukul 3 hingga 5 pagi tadi.

“Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit, sebatang kayu berukuran 90 sentimeter (cm) panjang, sebatang kayu besbal berukuran 71cm dan tiga buah kereta,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi bagi siasatan lanjut.
Jelasnya, tindakan mengesan dan mencari suspek lain yang disyaki terlibat dalam kes ini sedang dijalankan.

Yusof berkata, orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kes berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 kanun keseksaan.- MalaysiaGazette
















