BOGOTA – Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh selepas sebuah pesawat tentera Colombia yang membawa 125 anggota tentera dan kru terhempas ketika berlepas awal pagi Isnin, menurut pihak berkuasa.
Pesawat jenis C-130 Hercules itu terhempas sejurus berlepas dari Puerto Leguizamo, berhampiran sempadan selatan dengan Ecuador dan Peru, dengan serpihan terbakar bertaburan di lantai hutan.
Sumber tentera memaklumkan kepada AFP bahawa 58 anggota tentera maut, bersama enam anggota tentera udara dan dua pegawai polis.
Angka kematian terkini itu diumumkan selepas Setiausaha Kerajaan Tempatan, Carlos Claros, sebelum ini memaklumkan kepada televisyen RCN bahawa 33 orang terbunuh, sambil usaha merawat dan memindahkan puluhan mangsa cedera sedang giat dijalankan.
Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas.
Kawasan sempadan tempat pesawat itu terhempas menyaksikan aktiviti ketenteraan intensif sejak beberapa minggu lalu, ketika tentera Colombia dan Ecuador berusaha mengekang kartel dadah dan kumpulan militan.
Imej AFP dari lokasi kejadian menunjukkan orang awam memanjat bahagian ekor pesawat yang rosak, bertanda FAC 1016, ketika asap dan api menjulang di atas pokok.
Menteri Pertahanan, Pedro Sanchez, melahirkan “dukacita mendalam” atas tragedi itu dan berkata masih terlalu awal untuk menentukan puncanya.
“Ia adalah satu kejadian yang amat menyedihkan bagi negara. Semoga doa kita memberi sedikit kelegaan,” katanya.
Jeneral Carlos Fernando Silva Rueda berkata, 114 anggota tentera dan 11 kru berada dalam pesawat tersebut, dalam perjalanan dari Puerto Leguizamo ke sebuah pos di Amazon berdekatan.
“Lapangan terbang itu kecil dan terdapat beberapa kesukaran” yang menghalang proses pemindahan mayat dan mangsa cedera, kata Gabenor wilayah Putumayo, Jhon Gabriel Molina dalam satu video di Facebook.
Penduduk tempatan melaporkan terdengar letupan kuat.
“Saya merasakan satu letupan di udara dan apabila saya melihat ke atas, pesawat itu terbang dekat dengan rumah saya,” kata seorang petani, Noe Mota.
Presiden Colombia, Gustavo Petro, berkongsi rakaman menunjukkan pesawat cuba terbang tinggi sebelum menjunam.
Beliau menyifatkan nahas itu sebagai “kemalangan mengerikan” dan menekankan keperluan untuk memodenkan aset ketenteraan Colombia, walaupun tidak mengaitkan secara khusus nahas itu dengan keadaan pesawat.
Insiden ini merupakan nahas kedua melibatkan pesawat C-130 Hercules dalam tempoh kurang sebulan.
Pada 27 Februari lalu, sebuah pesawat kargo tentera Bolivia yang membawa wang kertas terhempas ketika mendarat berhampiran La Paz, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang.
Pesawat ini terkenal dengan keupayaannya beroperasi di landasan sementara dan digunakan secara meluas oleh tentera di seluruh dunia. – Agensi
















