KUALA LUMPUR – Barisan Peguam Pemuda UMNO sedia untuk memberi bantuan percuma kepada keluarga remaja yang ditampar oleh seorang lelaki di sebuah premis di Pasar Seni.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Saleh berkata, beliau menghormati keputusan ahli keluarga remaja berkenaan yang ingin memaafkan lelaki tersebut.
“Tetapi jika mereka ingin mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan yang sangat bangsat yg dilakukan keatas adiknya, barisan peguam Pemuda UMNO sedia untuk membantu secara percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Akmal, tindakan menampar kanak-kanak adalah tindakan yang sangat bacul dan perlu diberikan pengajaran yang setimpal kepada individu tersebut dan juga pada orang lain.
Lagipun, katanya, kanak-kanak perlu dilindungi bukan disakiti waima apa sekalipun keadaan yang berlaku.
Justeru, katanya, jika keluarga mangsa ingin mendapatkan bantuan peguam, boleh hubungi terus.
Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, Akmal menggesa agar individu yang menampar seorang remaja lelaki 12 tahun itu segera dikesan dan diambil tindakan.
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan serta melampau.
“Mohon untuk cari mamat ini sampai jumpa. Ini bukan soal perkauman, ini soal tindakan yang dibuat itu adalah tindakan yang bacul dan bangsat,” katanya dalam satu kenyataan.
Akmal turut meluahkan kemarahan terhadap insiden berkenaan dan menggesa orang ramai membantu mengenal pasti suspek.
“Kalau dah jumpa tolong beritahu saya, saya pun nak juga buat benda yang sama kat muka dia,” katanya di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu perkongsian mengenai kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.35 petang di sebuah premis Rotiboy di Pasar Seni, membabitkan seorang kanak-kanak.
Menurut hantaran pengguna dikenali sebagai rx_hid, individu dalam gambar didakwa telah menampar adiknya menggunakan belakang tangan tanpa sebarang provokasi.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi turut memaparkan detik kejadian tersebut.
Perkongsian itu turut memohon bantuan orang ramai untuk mengenal pasti lelaki berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Kes berkenaan mengundang reaksi pelbagai pihak yang menggesa agar tindakan tegas diambil, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak di tempat awam. – MalaysiaGazette
















