JOHOR BAHRU – Satu sistem gaji permulaan jurutera yang lebih setimpal perlu diperkenal supaya selari dengan kenaikan kos sara hidup masa kini selain mengelak berlakunya fenomena brain drain.
Timbalan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Zainuddin Adan berkata, langkah tersebut bagi memastikan gaji diterima setimpal dengan kelayakan akademik, kemahiran dan tanggungjawab profesional yang mereka pikul.
“Dalam banyak kes, gaji permulaan jurutera masih berada pada tahap yang tidak seiring dengan kos sara hidup semasa, khususnya di bandar-bandar utama.
“Ketiadaan satu sistem gaji permulaan yang jelas dan tersusun menyebabkan ramai jurutera muda terpaksa bertukar kerja secara kerap (job-hopping) semata-mata untuk mendapatkan peningkatan pendapatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, fenomena itu bukan sahaja menjejaskan kestabilan kerjaya profesional, malah memberi kesan langsung kepada produktiviti industri apabila syarikat terpaksa menanggung kos latihan berulang, kehilangan bakat serta gangguan kepada kelangsungan projek.
Situasi itu katanya, juga memberi implikasi lebih besar kepada pembangunan negara sedangkan jurutera merupakan tulang belakang kepada sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan, tenaga, teknologi dan infrastruktur.
Namun katanya, tanpa ganjaran kompetitif ramai graduan kejuruteraan memilih untuk beralih ke sektor lain atau berhijrah ke luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi.
“Fenomena brain drain ini akhirnya merugikan negara kerana Malaysia kehilangan tenaga mahir yang telah dilatih dengan kos yang tinggi oleh institusi tempatan,” katanya.
Pejuang Johor berpandangan bahawa sudah tiba masanya peranan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) diperkasakan secara lebih menyeluruh.
Sebagai badan berkanun di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) katanya, BEM kini berfungsi sebagai pengawal selia profesion kejuruteraan melalui pendaftaran jurutera, akreditasi program akademik, pelaksanaan peperiksaan amalan profesional (PPE), serta pemantauan etika dan pembangunan profesional berterusan (CPD).
Bagaimanapun katanya, fungsi kawal selia ini perlu diperkembangkan dengan memperkenalkan garis panduan gaji minimum bagi jurutera graduan baharu sebagai satu mekanisme perlindungan awal dalam kerjaya profesional mereka.
Pada masa ini katanya, terdapat jurang ketara antara sektor dan syarikat dalam penetapan gaji permulaan jurutera.
Ada syarikat yang menawarkan pakej kompetitif, namun tidak kurang juga yang menawarkan gaji yang rendah sehingga tidak mencerminkan status profesion tersebut, katanya.
Keadaan itu ujarnya, mewujudkan ketidakseimbangan pasaran buruh dan menekan graduan baharu yang tiada kuasa tawar-menawar.
Beliau berpendapat, tanpa campur tangan dasar atau garis panduan yang jelas, ketidaksamaan ini akan terus berlarutan.
Menurutnya, pengalaman negara maju menunjukkan bahawa sistem gaji yang lebih tersusun mampu meningkatkan kestabilan tenaga kerja dan daya saing industri.
“Di Jerman, perjanjian kolektif antara kesatuan pekerja dan majikan memastikan struktur gaji yang telus dan konsisten mengikut pengalaman serta kemahiran.
“Singapura pula melalui National Wages Council (NWC) mengamalkan pendekatan tripartite yang melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja dalam menetapkan garis panduan gaji tahunan yang relevan dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup,” katanya.
Perancis pula kata Zainuddin, menggunakan gabungan undang-undang buruh dan perjanjian sektor industri untuk melindungi pekerja, termasuk jurutera muda daripada eksploitasi gaji rendah.
“Jepun pula mengamalkan sistem gaji berasaskan senioriti yang memberi jaminan kenaikan gaji secara berperingkat, manakala Switzerland mengekalkan tahap gaji tinggi melalui pasaran buruh yang kompetitif dan pengaruh kesatuan profesional yang kukuh,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mencadangkan agar Malaysia mengadaptasi model hibrid yang menggabungkan kekuatan pendekatan-pendekatan ini.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan katanya, termasuk mewujudkan garis panduan gaji minimum melalui kerjasama antara kerajaan, industri dan badan profesional, memperkenalkan struktur gaji standard bagi jurutera graduan baharu mengikut bidang serta tahap kemahiran serta memastikan semakan berkala dibuat berdasarkan perubahan kos sara hidup dan keperluan pasaran.
Selain itu katanya, insentif kepada majikan yang mematuhi garis panduan ini juga boleh dipertimbangkan bagi menggalakkan pelaksanaan secara meluas.
Zainuddin berkata, langkah itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada jurutera muda, malah turut membantu industri secara keseluruhan.
Tambahnya, dengan adanya struktur gaji yang lebih jelas dan adil, kadar keluar masuk pekerja dapat dikurangkan, produktiviti dapat ditingkatkan serta perancangan projek dapat dilaksanakan dengan lebih stabil.
“Dalam jangka panjang, ia juga akan meningkatkan imej profesion kejuruteraan sebagai satu kerjaya yang berprestij dan berdaya saing,” katanya.
Kesimpulannya ujar beliau, Malaysia perlu bergerak ke arah mewujudkan satu sistem gaji permulaan jurutera yang lebih tersusun melalui pemerkasaan peranan BEM.
Jelasnya, dengan adanya garis panduan yang jelas serta perlindungan sewajarnya, jurutera muda akan lebih terjamin, industri akan menjadi lebih stabil dan kompetitif, serta keyakinan rakyat terhadap profesion kejuruteraan dapat diperkukuhkan.
“Pada masa yang sama, langkah ini diyakini mampu mengurangkan budaya job-hopping dan menangani isu kehilangan bakat yang semakin meruncing dalam kalangan tenaga profesional negara,” dakwanya.- MalaysiaGazette
















