Video tular dua lelaki mendakwa sebagai MPP dipercayai berbincang dengan pemilik sebuah premis urut berhubung bayaran wang perlindungan.

KUALA LUMPUR – Tiada kompromi terhadap sebarang amalan meminta wang perlindungan termasuk membabitkan ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Kenyataan itu susulan penularan satu klip video semalam yang memaparkan dua lelaki mendakwa sebagai MPP dipercayai berbincang dengan pemilik sebuah premis urut berhubung bayaran wang perlindungan.

Dalam video berkenaan, individu terbabit didakwa menawarkan maklumat awal mengenai operasi penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai balasan, bagi membolehkan premis tersebut menghentikan operasi sementara bagi mengelak tindakan.

Susulan itu, Hannah berkata beliau telah mengarahkan laporan polis dibuat dan siasatan dimulakan serta-merta.

“Jika dakwaan ini terbukti benar, ahli MPP berkenaan akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi.

“Pendirian kita jelas, tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” tulisnya dalam Facebook sebentar tadi.

Hannah Yeoh

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat atau aduan kepada Unit Integriti Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, kerjasama antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil.

“Aduan bukan sahaja melibatkan ahli MPP, malah turut merangkumi mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast