Victor Chin. - Foto: MMAG

KUALA LUMPUR – Di sebalik dakwaan bayaran RM9.5 juta yang mencetuskan perhatian, Victor Chin Boon Long tampil menegaskan ia bukan untuk ‘kaw tim’ mana-mana agensi penguatkuasaan atau menutup siasatan.

Sebaliknya kata ahli perniagaan itu, bayaran itu terpaksa dibuat dalam keadaan terdesak bagi menghentikan tekanan terhadap individu yang dikaitkan dengannya.

Dakwa Victor, bayaran tersebut adalah ‘yuran perkhidmatan’ yang terpaksa dibuat susulan tindakan agresif kumpulan yang didakwa sebagai ‘mafia korporat’, yang bukan sahaja menyasarkan dirinya, malah turut menekan pihak di sekelilingnya.

Menurutnya, tafsiran terhadap bayaran itu sebagai sesuatu yang lain adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Dakwanya lagi, beliau dimaklumkan wang RM9.5 juta itu akan disalurkan kepada kumpulan berkenaan bagi menghentikan tindakan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengannya, selain memberi peluang kedua untuk beliau meneruskan kehidupan.

“Saya berada dalam tekanan yang sangat kuat daripada kumpulan tersebut. Mereka memaksa saya menyerahkan saham secara percuma kepada mereka.

“Bagi mencapai tujuan itu, mereka menyasarkan orang terdekat saya, rakan perniagaan, syarikat, kawan-kawan malah individu yang hanya dianggap ada kaitan dengan saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, lebih 500 akaun milik individu yang dikaitkan dengannya telah dibekukan, menyebabkan gaji tidak dapat dibayar selain komitmen pinjaman perumahan dan kenderaan gagal diselesaikan.

Katanya, situasi itu mencetuskan tekanan kewangan dan emosi yang serius kepada semua pihak terlibat.

“Saya tiada pilihan. Saya berasa sangat bersalah kerana mereka menderita hanya kerana mengenali saya atau dikaitkan dengan saya.

“Saya membuat bayaran itu untuk melindungi mereka dan dengan harapan penderitaan kewangan mereka dapat dihentikan segera,” ujarnya.

Tambah beliau, bayaran RM9.5 juta itu hanyalah reaksi bagi menghentikan tindakan melampau kumpulan berkenaan.

“Nilai terbesar dalam hidup bukanlah wang, tetapi ketenangan fikiran. Saya sanggup melakukan apa sahaja demi ketenangan orang-orang saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyatakan sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sebarang siasatan bebas dan adil bagi merungkai kebenaran sebenar.

Katanya, siasatan itu perlu dijalankan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada dirinya sahaja, sebaliknya merangkumi semua pihak yang terlibat atau mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast