KUALA LUMPUR – Cubaan mengaitkan Naib Presiden PKR yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dengan bayaran RM9.5 juta oleh pihak tertentu disifatkan sebagai permainan ‘syaitan korporat’ bertujuan menjatuhkan reputasi pemimpin serta parti itu.
Timbalan Ketua Cabang Keadilan Seremban, Gary Muthu berkata, serangan tersebut dipercayai didalangi pihak berkepentingan yang cuba mempengaruhi institusi kerajaan demi keuntungan sendiri.
“Dakwaan melibatkan transaksi kewangan yang tidak masuk akal seperti RM9.5 juta ini adalah satu fitnah jahat. Kita minta individu dikenali sebagai Victor Chin pulang ke Malaysia dan mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekiranya dakwaan itu benar. Jangan asyik beri kenyataan sahaja.
“Dalam sistem demokrasi berparlimen, beban pembuktian terletak kepada pihak yang membuat tuduhan. Dakwaan tanpa kehadiran untuk disiasat hanya menimbulkan persepsi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, istilah ‘syaitan korporat’ merujuk kepada kumpulan tertentu yang didakwa cuba ganggu gugat institusi kerajaan bagi kepentingan sempit, termasuk memberi tekanan terhadap pihak yang memperjuangkan tadbir urus bersih.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, PKR akan terus mempertahankan integriti parti serta menyokong setiap pimpinan termasuklah Ramanan selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan negara.
“Kami akan terus berdiri teguh di belakang prinsip reformasi dan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan berkepentingan,” ujarnya. -MalaysiaGazette














