Suasana di hadapan bangunan Hosptial Kuala Lumpur . (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan semula inisiatif Hospital Services Outsourcing Programme (HSOP) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu pesakit yang memerlukan perkhidmatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

HKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program HSOP berjaya mengurangkan masa menunggu pesakit sebanyak 33 peratus pada 2025, daripada 24 minggu kepada 16 minggu.

“Pada 2025, HKL telah mengoptimumkan penggunaan slot sebanyak 96.8 peratus, iaitu menggunakan 365 daripada 377 slot yang diperuntukkan.

“Untuk tahun ini, pihak hospital telah memohon sebanyak 640 slot, iaitu peningkatan hingga 70 peratus untuk terus mengurangkan senarai menunggu pesakit,” menurut kenyataan itu.

Program itu dimulakan semula secara rasmi pada Rabu lepas selepas peruntukan dana baharu diterima pada 19 Mac.

Menurut HKL, Jabatan Radiologi kini beroperasi dengan dua mesin MRI di Blok Utama dengan kapasiti optimum 24 hingga 28 kes sehari, bergantung kepada kerumitan dan keadaan pesakit

“Bagaimanapun, jumlah pemeriksaan harian pernah mencecah hingga 36 kes bagi memberikan keutamaan kepada kes-kes kecemasan dan kritikal yang perlu disegerakan.

“HKL dan KKM terus komited memastikan perkhidmatan kesihatan kekal efisien dan memenuhi piawaian penjagaan kesihatan terbaik,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan tentang kekangan perkhidmatan MRI di HKL, yang didakwa memaksa hospital itu menghantar pesakit ke hospital swasta untuk mendapatkan perkhidmatan MRI. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast