GAMBAR HIASAN RON97
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperketat kawalan subsidi bahan api termasuk melarang sepenuhnya kenderaan asing membeli petrol RON95 bermula 1 April ini, dalam usaha mengekang ketirisan serta menstabilkan harga barangan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata langkah itu sebahagian daripada strategi lebih luas memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin di tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Menurutnya, penguatkuasaan tersebut penting bagi memastikan subsidi kerajaan tidak disalah guna dan hanya dinikmati rakyat tempatan.

“Langkah ini antara strategi bagi memastikan subsidi terus dinikmati rakyat Malaysia sahaja.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan asing atau pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan ini dan mereka akan berdepan tindakan tegas,” katanya dalam kenyataan. 

Dalam masa sama, KPDN turut memperketat kawalan penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula Rabu ini.

Azman berkata, semua stesen minyak di tiga wilayah berkenaan diarahkan mengehadkan jualan diesel mengikut kategori kenderaan pengangkutan darat, iaitu 50 liter, 100 liter dan 150 liter bagi setiap transaksi.

Katanya, langkah itu bagi memastikan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau pihak industri yang tidak layak.

“Ini penting bagi menjamin bekalan diesel kekal mencukupi untuk kegunaan domestik, khususnya di Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada rantaian bekalan yang lebih mencabar,” katanya.

Mengulas kesan kepada rakyat, beliau berkata ketirisan subsidi bahan api boleh memberi impak langsung kepada kos logistik dan seterusnya harga barangan di pasaran.

Menurutnya, jika penyelewengan tidak dibendung, ia berisiko meningkatkan kos pengangkutan dan memberi tekanan kepada harga makanan serta barangan keperluan.

Sehubungan itu, KPDN merangka pendekatan lebih agresif bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil, sekali gus mengekang kenaikan harga yang tidak munasabah.

Dalam aspek penguatkuasaan, seramai 2,400 pegawai KPDN di seluruh negara kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan.

Azman berkata, melalui Ops Tiris 4.0, KPDN turut memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain bagi menutup ruang penyelewengan.

“Sebarang cubaan mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ini tidak akan dikompromi.

“Penyelewengan subsidi adalah pengkhianatan kepada rakyat dan negara,” katanya.

Beliau turut menggesa pengguna, peniaga dan pemain industri menyokong gerakan KITA GEMPUR bagi membanteras manipulasi serta ketirisan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, talian 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast