KENINGAU – Bau kuat ketika memancing membawa kepada penemuan rangka manusia di tebing Sungai Sigapon di sini semalam sekaligus membongkar kehilangan seorang kanak-kanak lelaki sejak empat hari lalu
Dalam kejadian menyayat hati pukul 4.30 petang itu, seorang pemancing telah menghampiri kawasan berkenaan dan menemui rangka yang dipercayai miliknya Muhammad Aidan Ridwan Abdullah,10.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pukul 9.17 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Siasatan mendapati rangka manusia yang ditemui dipercayai milik kanak-kanak yang sebelum ini dilaporkan lemas pada 24 Mac lalu di Sungai Pagalan, Sook.
“Lokasi rangka ditemui di Sungai Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer dari lokasi kejadian asal mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati rangka berkenaan tidak sempurna dan dipercayai dimakan haiwan liar.
“Rangka bersama cebisan kulit dan tisu dikutip sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pengecaman dilakukan oleh ibu mangsa pada jam 3 petang semalam dan mengesahkan rangka berkenaan adalah anaknya berdasarkan struktur gigi.
Dalam kejadian pada 24 Mac lalu, seorang lelaki warga emas, Fredoline Yariki, 60, bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, Keningau.
Warga emas itu kemudian ditemui lemas di Sungai Banjar, Mempikit pada keesokan hari kira-kira jam 5.21 petang oleh penduduk kampung manakala cucunya dipercayai dihanyutkan arus sebelum rangkanya ditemukan di Sungai Sigapon. – MalaysiaGazette
















