Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan mengusir Duta Besar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 24 jam sebagai bantahan keras terhadap kenyataan didakwa menghina Islam oleh Setiausaha Pertahanan (AS), Pete Hegseth yang menyifatkan Islam sebagai “musuh” dalam satu sidang media di Pentagon.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, ucapan Hegseth yang menyebut  “Tidak kira Sunni atau Syiah, musuh kami adalah Islam” serta “Kami bukan berperang dengan sebuah negara, kami berperang dengan satu sistem kepercayaan” disifatkan sebagai biadab, Islamofobia dan menghina kira-kira 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Tegasnya, kenyataan tersebut bukan sahaja mencetuskan kebencian, malah berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik serta menggugat keselamatan antarabangsa.

“Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak boleh berdiam diri terhadap penghinaan sedemikian dan perlu mengambil tindakan tegas.

“Putra menggesa kerajaan melalui Wisma Putra untuk segera mengusir Duta Besar Amerika Syarikat dari Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam, mengeluarkan kenyataan rasmi menolak retorik yang melabelkan Islam sebagai musuh serta menggerakkan solidariti bersama negara-negara Islam lain.

“Tindakan tegas adalah perlu demi menjaga maruah negara, umat Islam dan prinsip keadilan sejagat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Hegseth dipetik telah mengaitkan Islam sebagai ancaman kepada keamanan dunia dalam sidang medianya.

Perkara tersebut telah mendapat reaksi Pas, apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa, sebarang usaha melabel mana-mana agama khususnya Islam yang dianuti lebih 1.9 bilion orang seluruh dunia sebagai musuh adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

Menurut beliau, naratif sedemikian berpotensi mencetuskan ketegangan, memperluas salah faham serta menjejaskan usaha global ke arah memupuk persefahaman dan saling menghormati. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast