Tangkap layar video yang tular berkenaan kemalangan di Jasin, Melaka.

JASIN – Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai sedang mabuk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Kerayong, di sini awal pagi tadi.

Dalam rakaman video berdurasi 22 saat itu, kelihatan seorang lelaki berdiri dalam keadaan terhuyung-hayang berhampiran lokasi kejadian, manakala kenderaan jenis van itu dilaporkan terbalik di tepi jalan.

Rakaman itu turut memaparkan suara seorang wanita yang dipercayai perakam video berkata;

Korang tengok ni kawan korang… macam-macam buat hal, habis dia bawa van… dengan mabuk dia, tak tentu arah dia.

“Kau tengok kuat siak (betul) bau dia,” dipercayai merujuk kepada keadaan pemandu berkenaan yang sedang mabuk.

Setakat pukul 10 pagi ini, video berkenaan mendapat lebih 1,600 reaksi, 579 komen dan dikongsi sebanyak 741 kali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut setakat ini.

Menurutnya, tindakan segera diambil selepas video itu tular di media sosial.

“Awal pagi tadi, pihak polis terkesan dengan video viral di Facebook sebelum sepasukan anggota trafik dan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin digerakkan ke lokasi.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati pemandu serta kenderaan tersebut telah tiada,” katanya sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast