Seorang lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki dari republik tersebut, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Arif Saiyadi, 25, faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Chia Hon Chung, 32, di Persiaran Southkey 1, Kota Southkey di sini pukul 5.30 pagi pada 14 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan sebagai sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang lagi lelaki warga Singapura, Shahid Nazareen Shah Phul Bahar Hussain, 33, didenda RM1,700 atau empat bulan penjara atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki lain.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.

Lelaki itu didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Mohamad Adam Haikal Zakaria, 26, kira-kira 4.30 pagi di kawasan tandas berhampiran lokasi dan hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang rendah, namun Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan mengambilkira kecederaan yang dialami mangsa.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 4.30 pagi, 14 Mac lalu, tertuduh bertemu dengan mangsa di tandas dekat lokasi kejadian sebelum berlaku perselisihan faham.

Tertuduh dikatakan telah menumbuk mata kanan mangsa dan kemudian tertuduh ditahan polis pada pukul 12.15 tengah malam, 18 Mac lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast