KUALA LUMPUR – Polis Pahang menjumpai 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertulisan ‘stone’ disyaki mengandungi dadah jenis kokain (A.B 16.263 kilogram) dan enam lagi bungkusan yang telah terlarut isi kandungannya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penemuan itu selepas Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen (JSJK) Pahang menjalankan pemeriksaan sebuah beg yang mencurigakan di persisiran Pantai Tanjung Gosong, Tanjung Selangor di Pekan.
Menurutnya, nilai pasaran dadah itu dianggarkan bernilai RM7, 318, 350 mengikut pasaran Malaysia ialah RM450,000 bagi setiap kilogram.
“Jumlah dadah yang dirampas ini mampu merosakkan seramai 81,315 orang yang menggunakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pemeriksaan menyeluruh akan dijalankan oleh JSJK Pahang bagi mengesan pihak-pihak terlibat.
Katanya, rakaman percakapan saksi-saksi juga telah dijalankan.
“Polis Pahang berharap jika terdapat saksi atau rakaman video yang boleh membantu pihak polis berkaitan kes ini bolehlah menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azhar Ahmad di talian 09 – 42212222 atau hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222. – MalaysiaGazette
















