Mohd Ridhwan Othman

JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak sepatutnya menolak mentah-mentah sebarang cadangan untuk mengurangkan beban rakyat kesan daripada konflik di Asia Barat.

Sebaliknya, Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau), Datuk Mohd Ridhwan Othman berkata, kerajaan perlu tampil mengemukakan jalan penyelesaian.

“Rakyat sudah jemu dengan kenyataan sesuatu cadangan ‘tidak menyelesaikan masalah’, sedangkan penyelesaian yang lebih berkesan masih belum dirasai di poket mereka.

“Apa yang rakyat mahu ialah bantuan terus, kawalan harga dan dasar yang jelas dalam menghadapi kesan konflik Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, cadangan pembangkang supaya peruntukan Ahli Parlimen kerajaan dimansuhkan sebagai langkah penjimatan susulan konflik di Asia Barat tidak memberikan penyelesaian kepada tekanan sebenar yang dihadapi rakyat.

Menurut Dr Zaliha, cadangan tersebut hanya bersifat populis dan tidak mencerminkan kefahaman sebenar terhadap realiti pengurusan fiskal negara.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini supaya peruntukan Ahli Parlimen kerajaan berjumlah RM3.5 juta setahun dimansuhkan.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, pada masa ini rakyat sudah muak mendengar alasan politik, sebaliknya memerlukan langkah yang benar-benar dapat meringankan kos sara hidup.

“Sama ada peruntukan Ahli Parlimen dimansuhkan atau tidak, apa yang rakyat lihat ialah harga barang terus naik, kos minyak meningkat dan tekanan sara hidup makin menghimpit.

“Jangan jadikan isu ini sekadar medan saling menyalahkan pembangkang. Jika cadangan itu dikatakan tidak menyelesaikan masalah sebenar, maka apakah langkah konkrit kerajaan untuk membantu rakyat sekarang,” soalnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast