Masrudi Abdul Rahman

JOHOR BAHRU – Kuasa pengguna perlu digerakkan dengan bijak dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi akibat krisis bekalan tenaga.

Timbalan Presiden I, Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Masrudi Abdul Rahman berkata, ini kerana kuasa pengguna merupakan instrumen paling kritikal dalam menggerakkan ekonomi negara.

Menurutnya, seruan Perdana Menteri agar rakyat memperkukuh ekonomi domestik dengan memberi keutamaan barangan tempatan sebagai langkah strategik menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global adalah tepat.

“Setiap keputusan pembelian bukan sekadar transaksi, tetapi satu bentuk sokongan langsung kepada kelangsungan usahawan tempatan, peluang pekerjaan serta kestabilan rantaian bekalan domestik.

“Dalam konteks ini, MTPN menegaskan bahawa peranan pengguna bukan lagi sekadar pilihan tetapi satu tanggungjawab nasional,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pengguna terhadap produk tempatan akan terus mengalir dalam ekonomi negara.

Sehubungan itu, kata beliau, MTPN menyeru semua pengguna untuk mengutamakan produk tempatan dalam setiap pilihan pembelian harian.

Selain itu, tambahnya, pengguna perlu menyokong perniagaan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS ) serta usahawan mikro sebagai tulang belakang ekonomi negara.

“Orang ramai juga perlu menjadi pengguna strategik, bukan sekadar pengguna biasa kerana mereka perlu membuat pilihan bijak, berinformasi dan beretika bagi memastikan ekonomi negara kekal mampan dan berdaya tahan,” ujarnya.

MTPN juga komited bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan, sektor industri dan media dalam memastikan mesej tersebut sampai kepada seluruh lapisan masyarakat secara berkesan dan berimpak tinggi.

Tambahnya, ketika ini bukan masa untuk bergantung tetapi untuk bertindak dengan pengguna menjadi benteng pertama ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast