Tangkap layar video yang tular memaparkan dua budak perempuan lari selepas seorang lelaki dalam kereta menunjukkan kemaluannya dalam kejadian di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berpura-pura bertanya mengenai tandas sebelum menunjukkan kemaluan kepada dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian tular di Bandar Baru Uda di sini semalam.

Menerusi video itu yang berdurasi 44 saat memaparkan dua kanak-kanak perempuan tersebut sedang berjalan kaki sebelum berhenti dan dilihat bercakap dengan seseorang dari dalam sebuah kereta hitam.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan kelihatan terkejut sebelum melarikan diri manakala kereta tersebut meninggalkan kawasan tersebut tidak lama selepas itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya terkesan dengan video tersebut yang tular dalam Facebook dan pada masa sama menerima laporan kejadian itu pukul 4.46 petang.

“Laporan tersebut dibuat seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun iaitu bapa kepada seorang daripada kanak-kanak tersebut. Siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 1 petang semalam.

“Bapa kanak-kanak tersebut memaklumkan anak perempuannya berusia 12 tahun dan anak saudaranya berusia 10 tahun telah dipanggil oleh seorang lelaki yang memandu kereta jenis Honda Accord,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian bertanya mengenai tandas sebelum menunjukkan kemaluannya kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan.

Hasil maklumat sepasukan anggota dari Unit D9, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan suspek berusia 54 tahun di sebuah rumah di Masai di sini pukul 11 malam tadi.

Pihaknya turut merampas beberapa barangan bagi tujuan siasatan dan suspek kini ditahan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, permohonan reman terhadap suspek yang tidak bekerja itu dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Radin Taha menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat ke IPD Johor Bahru Utara 07-5563122 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast