KUALA LUMPUR – Batalion Anak Muda (BAM) mencadangkan penubuhan Rekod Pematuhan Undang-Undang Sivil (RPUS) bertujuan mendidik warga asing supaya menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
Pengasas bersama merangkap Setiausaha Agung BAM, M. Jay Raj berkata, pendekatan itu merupakan satu mekanisme telus berasaskan fakta dan undang-undang, bukan pemarkahan sosial.
“RPUS bukan alat untuk menghakimi cara hidup, agama, bangsa atau latar belakang seseorang. Ia adalah rekod pematuhan undang-undang yang setara, sama seperti rekod jenayah yang digunakan dalam semakan permit pekerjaan di seluruh dunia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
BAM membangkitkan cadangan itu ekoran insiden pertikaian tempat letak kereta melibatkan seorang peniaga nasi lemak dikenali `Kak Ayu’ dengan seorang individu didakwa warganegara asing.
Berdasarkan maklumat dan rakaman yang telah tersebar, lelaki berkenaan didakwa telah menghalang kenderaan mangsa untuk tempoh yang panjang menyebabkan peniaga nasi lemak itu tidak dapat keluar.
Walaupun mangsa jelas berada dalam tekanan emosi yang teruk, tidak kelihatan sebarang usaha untuk mengambil tanggungjawab atau meredakan keadaan berdasarkan rakaman yang tular.
Dalam kenyataannya, BAM berkata, insiden itu yang tular dalam laman sosial TikTok mencerminkan tingkah laku dan sikap tidak hormat rakyat asing kepada rakyat tempatan.
Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, prinsip teras dalam RPUS tidak memberikan sebarang `markah’ atau `penilaian’ angka.
Sebaliknya, ia dinilai melalui tiga peringkat pelanggaran iaitu ringan, sederhana dan serius.
“Jika pelanggaran itu ringan, amaran bertulis diberikan tanpa melibatkan permit kerja. Jika kesalahan sederhana, syarat tambahan dikenakan semasa pembaharuan permit kerja dan jika serius, ia boleh menjejaskan permit,” ujarnya.
Selain itu, BAM turut mencadangkan penubuhan Program Malaysia Civic & Cultural Immersion (MCCI) iaitu modul wajib bagi semua warga asing yang memohon permit kerja, lesen perniagaan atau visa pelajar jangka panjang.
NGO berkenaan juga mencadangkan lesen perniagaan milik warga asing diaudit dua kali setahun selain semakan berkala setiap dua tahun yang mewajibkan pengusaha perniagaan asing membuktikan pematuhan MCCI dan rekod tingkah laku awam yang bersih.
Ujarnya, perniagaan yang didapati melanggar standard etika boleh digantung lesen atau disenaraihitamkan.
Turut dicadangkan, program penglibatan komuniti tempatan yang mewajibkan semua warga asing jangka panjang melengkapkan sekurang-kurangnya 20 jam aktiviti penglibatan komuniti seperti program gotong-royong dan acara komuniti setempat, bagi memupuk pemahaman tulen berkaitan masyarakat Malaysia. – MalaysiaGazette
















