KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar menyifatkan acara konvoi bermotosikal sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 pagi tadi bukan sekadar perjalanan di jalan raya.
Sebaliknya, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, ia merupakan simbol perjalanan sebagai satu ummah.
Menurut Menteri Besar Terengganu berkenaan, mereka yang berhimpun dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu adalah kerana ingin membawa mesej jelas iaitu apabila bersatu, maka ummah akan menjadi kuat.
“Tiada beza negeri, latar atau bangsa tetapi yang ada hanya satu tujuan demi memperkukuh ukhuwah dan masa depan bersama.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan memeriahkan konvoi ini dengan penuh semangat.
“Insya-Allah, langkah kecil hari ini akan jadi asas besar untuk masa depan ummah yang lebih kukuh. Moga diberkati usaha kita,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu 2026 dianjurkan sebagai medan memperkukuh perpaduan umat Islam selain merapatkan kerjasama serantau dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
Acara kemuncak program itu akan berlangsung malam ini menerusi Pidato Penyatuan Ummah yang menghimpunkan barisan pemimpin pelbagai latar belakang.
Antara pemimpin yang dijadual menyertai pidato tersebut ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pemimpin lain termasuk Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa. – MalaysiaGazette
















