KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan mempertimbangkan pemberian lesen kepada ‘ulat foto’ atas faktor keselamatan khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, hasil lawatan bersama pasukan keselamatan di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) mendapati persimpangan di lokasi itu tidak sesuai untuk sebarang aktiviti fotografi kerana berisiko tinggi berlakunya kemalangan.
“Isu utama yang dikenal pasti adalah berkaitan keselamatan. Persimpangan berkenaan didapati tidak sesuai dan berisiko tinggi untuk sebarang aktiviti mengambil gambar.
“Sehubungan itu, atas faktor keselamatan, saya berpandangan bahawa pemberian lesen untuk aktiviti tersebut tidak boleh dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menambah pemasangan CCTV di beberapa simpang utama selain memperkenalkan sistem pengumuman dalam lima bahasa setiap 10 minit bagi memberi peringatan kepada orang awam dan pelancong supaya tidak menggunakan perkhidmatan ‘ulat foto’.
Dalam masa sama, operasi bersepadu bersama polis giat dijalankan secara berkala bagi membanteras aktiviti tidak berlesen itu.
“Berdasarkan tangkapan yang dibuat, isu ini bukan sekadar melibatkan ketiadaan lesen, tetapi turut membabitkan penggunaan identiti palsu termasuk dalam kalangan bukan warganegara.
“Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sektor swasta seperti pihak pengurusan KLCC selain Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen,” jelasnya.
Tambah beliau, sekiranya terdapat keperluan perkhidmatan fotografi untuk pelancong, DBKL akan menyalurkannya melalui agensi rasmi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















