GEORGE TOWN – Seramai 13,655 individu dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu, dengan majoritinya membabitkan golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, situasi itu memerlukan pendekatan lebih agresif dan bersepadu melibatkan semua agensi bagi mengekang ancaman dadah yang semakin kompleks.
“Peningkatan penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) atau syabu yang mencatatkan 59.1 peratus daripada keseluruhan kes adalah antara cabaran utama yang perlu ditangani segera.
“Daripada jumlah keseluruhan, 95.2 peratus adalah lelaki, manakala wanita hanya 4.8 peratus, dengan sebahagian besar membabitkan golongan belia yang menjadi kumpulan paling berisiko,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 yang dihadiri Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Ruslin Jusoh.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa kertas berkaitan termasuk fokus lima tahun Kampung Aspirasi Bebas Dadah serta laporan impak gerak kerja SKUAD Antidadah, selain laporan penyalahgunaan dadah dan senario tangkapan serta rampasan oleh pihak berkuasa.
Tambah Kon Yeow, trend semasa turut menunjukkan sindiket dadah kini semakin licik dengan memanfaatkan rangkaian digital dan operasi rentas sempadan bagi mengembangkan kegiatan mereka.
“Sehubungan itu, semua pihak perlu memperkukuh sinergi melalui pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan penglibatan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di 29 jabatan kerajaan negeri membuktikan komitmen tinggi dalam membentuk persekitaran kerja yang sihat dan berintegriti.
Katanya, inisiatif itu akan terus diperluaskan kepada agensi berkaitan kerajaan serta sektor swasta bagi memastikan usaha pencegahan dapat dilaksanakan secara lebih meluas.
“Pemerkasaan SKUAD Antidadah Pulau Pinang turut diberi tumpuan khusus sebagai platform kesukarelawanan belia termasuk melalui penggunaan platform digital e-Skuad.
“Pendekatan ini penting bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan dan kesedaran dalam komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Justeru kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan usaha membanteras dadah dapat dilaksanakan secara holistik demi mencapai matlamat Dadah Terkawal 2030 dan aspirasi Visi Penang2030,” katanya. – MalaysiaGazette
















