TEHRAN – Iran mengesahkan Ketua Organisasi Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat-Israel, pada waktu subuh.
“Mejar Jeneral Sayed Majid Khademi, seorang Ketua Perisikan IRGC yang sangat berkuasa dan terpelajar telah syahid,” kata IRGC dalam satu kenyataan.
Sementara itu AFP melaporkan, IRGC menggelarkan insiden tersebut sebagai serangan jenayah teroris yang juga musuh mereka iaitu Amerika- Zionis.
Khademi dilantik sebagai ketua cabang perisikan IRGC pada Jun 2025 selepas Jeneral Mohammad Kazemi terbunuh dalam serangan Israel.
Ketegangan serantau semakin memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat, menyebabkan korban dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan. -AGENSI
















