Maritim menahan dua buah bot tunda dari Indonesia yang masuk perairan Malaysia pada kedudukan 16.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai, Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot tunda dari Indonesia yang disyaki masuk perairan Malaysia tanpa kebenaran di sini semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua tangkapan dibuat hasil rondaan dalam Op Jaksa, Op Todak 2/2021, Op Jangkar Haram, Op Tiris 3.0 dan Op Khas Pagar Laut.

“Bot Petir 11 melakukan penahanan bot tunda pertama pada pukul 12.30 tengah hari pada kedudukan 16.5 batu nautika timur laut Tanjung Punggai.

“Pada hari yang sama Bot Petir 12 berjaya menahan sebuah lagi bot tunda kedua pukul 6.50 petang pada kedudukan 3.1 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua penahanan tersebut berlaku dalam perairan negara dan berada di bawah bidang kuasa penguatkuasaan pihak berkuasa negara.

Kama Azri memaklumkan, kedua-dua bot tunda itu gagal mengemukakan dokumen kebenaran dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk memasuki atau beroperasi di perairan Malaysia.

Jelasnya, ia sebagaimana dikehendaki bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Justeru perintah penahanan awal dikeluarkan terhadap kedua-dua bot tunda berkenaan dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Kama Azri dalam pada itu menegaskan, rondaan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat demi menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

“Semua aktiviti laut akan dipantau rapi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut dinasihatkan untuk menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 013-7001235 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast