Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA — Walaupun konflik di Timur Tengah kini memasuki fasa gencatan senjata sementara, kerajaan menegaskan, fokus utama tetap terarah kepada memastikan bekalan dalam negara tidak terjejas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan pihak-pihak terlibat untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu disambut baik namun kesan terhadap infrastruktur tenaga global masih menjadi kebimbangan.

“Sudah pasti keputusan bagi pihak-pihak yang di dalam konflik ini untuk melaksanakan temporary ceasefire dalam tempoh dua minggu ini supaya perancangan antara 10 point plan Iran dan 15 point plan Amerika Syarikat dapat diteliti dan dimuktamadkan itu kita terima dengan baik.

“Sudah pasti yang paling penting adalah bagi rakyat Malaysia untuk memahami bahawa akhirnya walaupun pada waktu ini perdamaian sementara telah dikecapi namun kesan konflik tersebut terus kita rasai akibat daripada kerosakan kepada ekosistem dan prasarana tenaga di negara-negara Teluk,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurut Fahmi, walaupun perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada pasaran global, kerajaan tidak akan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap implikasi jangka sederhana serta panjang kepada rantaian bekalan tenaga dunia.

Katanya, kerosakan terhadap tangki penyimpanan, saluran paip dan fasiliti pemprosesan minyak mentah di negara-negara Teluk memerlukan masa untuk dipulihkan dan berpotensi memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi serantau termasuk Malaysia.

“Pergerakan kapal di selat dan juga di lautan terbuka mengambil masa yang agak lama. Dia bukan laju, kenderaan yang agak besar yang mengangkut bahan bakar yang terlalu mudah terbakar maka akan makan masa.

“Jadi, kita jangkakan bagi rakyat Malaysia yang paling penting kita dapat atasi isu-isu bekalan dan ini masih menjadi keutamaan Perdana Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Jemaah Menteri serta Majlis Tindakan Ekonomi telah dimaklumkan mengenai situasi semasa dan langkah pemantauan sedang dilaksanakan secara berterusan.

Tegas Fahmi, kerajaan komited memastikan kestabilan bekalan kekal terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan global sejajar komitmen Perdana Menteri untuk melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast