Dua individu didakwa atas kes gangguan seksual dan kecederaan terhadap kanak-kanak di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Persatuan Kebajikan Sri Bala Illam Batu Caves ketika di bawa oleh anggota polis di Mahkamah Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2026.

AMPANG – Seorang penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak tidak berlesen di Gombak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 15 pertuduhan membabitkan kesalahan seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki.

Tertuduh, V Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin dan Ho Kwong Chin.

Mengikut kertas pertuduhan, Retna didakwa melakukan 12 kesalahan amang seksual secara fizikal dan bukan fizikal terhadap mangsa berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Dia juga mengaku salah atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Pertubuhan Kebajikan Sri Bala Illam di Taman Permata Biru, Batu Caves, antara November 2025 hingga Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b), 15(a)(i) dan 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan salah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk jatuh hukum, Retna yang tidak diwakili peguam tidak ditawarkan jaminan selepas mengaku bersalah.

Sementara itu, pemilik dan pengasas pusat jagaan berkenaan, S Valan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun di lokasi sama.

S Valan, pengasas dan pemilik Pusat Jagaan Kanak-Kanak Pertubuhan Kebajikan Sri Bala Illam mengaku tidak salah hari ini.

Valan diwakili peguam Amalia Daud dan R. Rashini, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hairul dan Nadiah.

Mahkamah membenarkan Valan diikat jamin RM30,000 dengan beberapa syarat tambahan termasuk tidak mendekati mangsa serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Jun ini.

Ketika prosiding berlangsung, isteri Valan yang juga penjamin dilihat hanya menundukkan muka sepanjang perbicaraan dengan sesekali mengesat air mata dan menggelengkan kepala.

Terdahulu, suasana di pekarangan mahkamah bertukar tegang apabila puluhan ibu bapa dan penjaga mangsa berkumpul seawal pagi sejurus kedua-dua tertuduh tiba.

Malah, ada dalam kalangan mereka dilihat menangis, menjerit serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek yang berjalan masuk ke mahkamah, manakala sebahagian lagi tidak dapat menahan sebak sehingga bergenang air mata.

Keadaan tegang di lobi Mahkamah Ampang hari ini.

Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi mengawal keadaan dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, Kirthen Subramaniam bersama Premila Subramaniam berkata, kes tersebut bermula hasil aduan ibu bapa mangsa sebelum didedahkan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan ibu bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah membenarkan Valan diikat jamin.

Peguam pemehati, S Kirthen dan S Premila

“Perasaan tidak puas hati itu ada kerana kes ini melibatkan kanak-kanak, namun kita serahkan kepada budi bicara mahkamah dan proses undang-undang yang sedang berjalan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan pertuduhan tambahan akan dibuat bergantung kepada perkembangan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast