KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini berkongsi jawapan balas terhadap surat tunjuk sebab terbaharu yang diterima daripada partinya semalam.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, Ahli Parlimen Pandan berkenaan menjawab empat pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau antaranya berkenaan teguran terhadap kepimpinan PKR supaya tidak membudayakan amalan bodek.
Dalam jawapan balasnya, Rafizi berkata, teguran sedemikian bukan baharu, sebaliknya beliau selalu menyebutnya secara berdepan dengan presiden parti dalam ucapan-ucapannya di kongres parti sebelum ini.
“Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, juga disambut dengan tawadhu’ selepas beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Bagi pertuduhan kedua berkenaan perhimpunan membantah Tan Sri Azam Baki, Rafizi menafikan beliau menganjurkan himpunan tersebut, sebaliknya dilaksana sekumpulan aktivis anak muda yang memanggil diri mereka Sekretariat Tangkap Azam Baki.
“Perhimpunan itu tidak berbeza dari Perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang (termasuk ahlipolitik) untuk berucap,” katanya.
Sementara itu, Rafizi turut menjawab pertuduhan berkenaan laporan-laporan beliau mengenai perilaku Presiden PKR berhubung beberapa orang tertentu, terutamanya Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dan Datuk Seri R Ramanan.
“Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan presiden parti dan terlindung dari tindakan-tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit dalam tuduhan-tuduhan yang saya sebut di atas (merujuk kepada isu melibatkan Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan),” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi menambah, beliau berharap Lembaga Disiplin PKR membuat keputusan yang tegas, cepat dan tidak lagi melengah-lengahkan perkara itu kerana rakyat sudah mual.
Ujar beliau, jika penjelasannya itu dikira telah melanggar Perlembagaan parti, beliau menggesa supaya PKR menjadi seperti sebuah parti yang normal (dan tidak songsang) dengan mengambil tindakan memecat, seperti yang telah dibuat kepada anggota-anggota parti lain yang dikenakan pertuduhan disiplin sebelum ini. – MalaysiaGazette
















