KUALA LUMPUR – Desakan supaya Datuk Seri Rafizi Ramli berundur daripada politik semakin lantang apabila sekumpulan aktivis dan pengasas PPKR berpiket di hadapan pejabat Invoke Solutions milik Ahli Parlimen Pandan itu di Sungai Besi hari ini.
Himpunan yang diketuai aktivis politik, Faizan Mohd Nor bersama pengasas parti itu, Ng Lum Yong itu menyaksikan puluhan peserta berhimpun sambil membawa mesej tegas mendesak bekas Menteri Ekonomi berkenaan bersara sepenuhnya daripada dunia politik.
Selain berpiket, Faizan turut memaklumkan satu memorandum akan diserahkan kepada Rafizi bagi menuntut perkara sama.
Dalam satu kenyataan, Faizan mendakwa Rafizi telah gagal selaku ahli politik dan menteri, justeru perlu mengambil tanggungjawab dengan berundur demi kestabilan negara.
“Cukup-cukuplah porak-perandakan negara ini demi cita-cita politik kamu, Rafizi. Sesungguhnya, selepas kamu gagal untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) dan seterusnya selaku menteri ekonomi juga gagal untuk memajukan negara, maka kamu perlu mengambil tanggungjawab untuk bersara,” katanya.
Sebelum ini, Faizan pernah menasihatkan Rafizi supaya bersara selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri yang gagal serta liabiliti kepada partinya sendiri.
Menurutnya, bekas Timbalan Presiden PKR itu yang pernah dikenali sebagai ‘Raja Formula’ kini dianggap gagal menunaikan janji malah mendakwa ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) berasa tertipu dengan janji-janji yang dibuat sebelum PRU-15.
Sementara itu, Ng Lum Yong turut mendakwa Rafizi sebagai menteri paling gagal sejak dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2022 sebelum meletak jawatan pada Jun 2025.

Berdasarkan pemerhatiannya sepanjang hampir tiga tahun itu, Ng mendakwa Rafizi gagal melaksanakan janji manifesto PH bagi PRU-15 serta tidak melakukan sebarang reformasi ekonomi ketika memegang portfolio berkenaan.
Katanya, pelbagai formula ekonomi yang dirangka juga tidak dilaksanakan malah beliau mendakwa Rafizi “hanya tahu sembang sahaja”.
Mengulas lanjut, Faizan menegaskan, pihaknya tidak akan berhenti setakat hari ini, sebaliknya akan menganjurkan lebih banyak program bagi memastikan Rafizi bersara, sama ada secara sukarela atau melalui keputusan rakyat dan pengundi Pandan pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette
















