SEPANG – Kerajaan sentiasa memantau situasi geopolitik di Asia Barat bagi memastikan keselamatan sejumlah 31,600 orang jemaah haji tahun ini terjamin.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, Tabung Haji (TH) sentiasa mengutamakan keselamatan jemaah dan petugas haji dan yakin agensi itu mampu menyantuni dan mendepani cabaran yang bakal ditempuh.
Ujarnya, TH sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas yang akan melakukan pemantuan melalui `scenario planning‘ bagi menghadapi situasi luar jangka ekoran ketidaktentuan keadaan geopolitik di Asia Barat.
“Apapun kita yakin dengan keseluruhan jentera yang kita ada dan kemampuan TH yang akan menyantuni dan mendepani setiap cabaran,” ujarnya kepada wakil media selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji Musim Haji 1447H/2026M ke Tanah Suci (Advance Party 1) di sini hari ini.

Seramai 141 petugas jemaah haji berlepas ke Arab Saudi hari ini melalui penerbangan pertama bagi memastikan segala persiapan operasi haji musim ini dilaksanakan dalam keadaan terbaik.
Beliau ditanya kesiapsiagaan kerajaan bagi menjaga kebajikan 31,600 jemaah haji sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Zulkifli selanjutnya berkata, kerajaan mendapat pemakluman dari Arab Saudi berhubung persediaan jemaah haji negara-negara lain yang turut melakukan perkara serupa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berautoriti.
“Kerajaan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa melalui mekanisme tertentu kerana keselamatan jemaah menjadi keutamaan kami,” ujarnya.
Sementara itu, TH dalam kenyataan memaklumkan, seramai 248 petugas haji berlepas secara berperingkat bermula hari ini sebelum menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah ke tanah suci pada 18 April ini.
Penerbangan terakhir pada 20 Mei ini manakala bagi musim haji tahun ini, hari wukuf pada 9 Zulhijah adalah pada Selasa, 26 Mei.
Mereka akan terlibat dalam pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadah haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi dan khidmat pelanggan bagi memastikan kelancaran operasi musim haji dan kebajikan jemaah.
“Pasukan petugas awal melibatkan 61 orang petugas rombongan kebajikan dan 80 orang petugas rombongan perubatan.
“Pasukan kedua pula melibatkan seramai 107 petugas yang akan berlepas pada 15 April ini,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan telah mengikuti kursus yang komprehensif bagi meningkatkan kecekapan pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan mereka bersedia menyantuni sejumlah 31,600 bakal jemaah.
Ujarnya, sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudi Airlines. – MalaysiaGazette
















