KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan memastikan keadilan terhadap Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang meninggal dunia pagi tadi ditegakkan sepenuhnya.
Dalam masa sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas, agar kejadian seumpama itu tidak berulang.
Tegas Mohamed Khaled, pihaknya memandang serius insiden itu dan sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh ATM.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled turut melahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Amirul Raziq.
“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Muhammad Amirul Raziq yang menjadi mangsa kejadian pukul seorang anggota berpangkat Koperal di sebuah kem di Bentong disahkan meninggal dunia pukul 9.45 pagi tadi selepas kira-kira dua minggu dirawat di Hospital Temerloh.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan,” demikian menurut bapanya, Rosafindi Tambi Chik seperti dilaporkan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Amirul Raziq, 24, dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam di kawasan kem.
Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Sehubungan itu, anggota tentera berpangkat Koperal berkenaan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Minggu lalu, tertuduh dalam kes itu, Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bentong atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera lain selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.
Susulan kematian mangsa, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya kini akan menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh. – MalaysiaGazette
















