Permohonan sambung reman tiga suspek warga Myanmar dibenarkan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Tiga individu warga Myanmar termasuk seorang wanita disambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegara mereka, pada 5 April lalu.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan oleh Majistret Savinder Singh Jugindar Singh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki berusia 37 dan 38 tahun serta seorang wanita berumur 37 tahun itu tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 8.30 pagi.

Sebelum ini, ketiga-tiga suspek telah direman dan tempoh tahanan mereka berakhir hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga termasuk wanita ditahan kes kematian lelaki Myanmar

Lelaki Myanmar maut di tangan rakan sendiri

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pada 5 April lalu, seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam oleh rakan senegara yang dikenalinya di tepi jalan Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat di sini.

Difahamkan, suspek memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan sebelum lelaki berkenaan menyalurkan maklumat kepada pihak polis kira-kira jam 10.50 malam.

Siasatan awal polis bersama pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan mangsa dalam keadaan meniarap di tepi jalan dengan kesan tikaman pada bahagian rusuk.

Turut ditemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu tidak jauh dari lokasi kejadian.

Susulan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan tiga tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes tersebut.

Beliau turut memaklumkan, hasil bedah siasat ke atas mangsa berusia 53 tahun yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya mendapati punca kematian adalah akibat luka tikaman di jantung.

Difahamkan, dua suspek lelaki yang ditahan merupakan kenalan kepada suspek utama yang masih diburu polis, manakala wanita terbabit dipercayai kekasihnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast