KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, pasukan pembelaan yang mewakili Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar sedang menyiapkan laporan audit kewangan untuk digunakan dalam kes pecah amanah pasangan tersebut.
Peguam Shaarvin Raaj berkata, pihaknya perlu menyerahkan 12 jilid dokumen laporan audit kewangan kepada pihak juruaudit sebelum pernyataan pembelaan tertuduh disediakan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembelaan memohon penangguhan perbicaraan hari ini dan memerlukan lanjutan masa bagi menyiapkan laporan audit tersebut.
“Pihak kami memohon masa enam ke tujuh minggu bagi pihak juruaudit yang dilantik menyiapkan laporan audit kewangan dua syarikat iaitu FashionValet Sdn. Bhd. dan 30 Maple Sdn Bhd.
“Tarikh bicara (dijadualkan sebelum ini) tidak dapat dijalankan, kami memohon tarikh lain ditetapkan,” katanya.
Hakim Rosli Ahmad kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan bermula pada 20 dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember serta 15, 28 dan 29 Januari 2027.
Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya dijadual sepanjang minggu bermula hari ini hingga 17 April, 18 hingga 22 Mei, dan 8 hingga 12 Jun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazawani Mohamad Sobry tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan.
Pada masa sama, Shaarvin turut memohon mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi membolehkan pasangan itu menyediakan visa untuk menunaikan haji.
“Kami memohon agar mahkamah dapat menyerahkan pasport hari ini kerana disebabkan pergolakan di Iran, pihak Kedutaan Arab Saudi mengetatkan syarat penerbangan dengan pasport perlu diserahkan bagi proses permohonan visa serta kekal disimpan oleh pihak kedutaan sehingga proses itu selesai.
“Anak guam juga dijangka menunaikan haji bermula 13 Mei hingga 17 Jun ini. Pasport akan diserahkan semula kepada pihak mahkamah pada 18 Jun nanti,” katanya.
Pada 5 Disember 2024, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Kedua-dua tertuduh didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari tahun lalu, pasangan itu sekali lagi didakwa atas satu pertuduhan pilihan, iaitu secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat yang sama, iaitu dana pelaburan berkenaan, di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara pada tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















