KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menggesa semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara memperkukuhkan pelaksanaan langkah-langkah perancangan dan penjimatan tenaga di peringkat tempatan dengan kadar segera.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan bagi menangani cabaran krisis tenaga global yang kian meruncing.
Menurut beliau, sebagai agensi yang bertanggungjawab menyelaras pentadbiran PBT, KPKT komited memastikan semua 156 PBT mengambil langkah proaktif dan terancang untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga di bangunan, segala fasiliti dan operasi harian mereka.
“Kerajaan Madani sentiasa memimpin dengan teladan dan memastikan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh dikompromi.”
“PBT perlu memastikan operasi harian dan urusan di kaunter tetap berjalan lancar serta efisien bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Langkah-langkah penjimatan tenaga bukan sahaja mengurangkan kos operasi kerajaan, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan matlamat pembangunan rendah karbon negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kor Ming, antara langkah utama yang disyorkan kepada PBT termasuk penetapan suhu penyaman udara minimum pada 24 darjah selsius di semua bangunan dan pejabat PBT.
Selain itu, katanya, pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat dan terpilih bermula 15 April ini, bagi mengurangkan penggunaan tenaga termasuk petrol dan kesesakan lalu lintas.
Tambah beliau, PBT juga disaran mengamalkan penjimatan harian termasuk mematikan lampu, komputer dan segala peralatan elektrik apabila tidak digunakan, serta menggalakkan kakitangan memakai pakaian sesuai iklim tropika seperti batik atau kemeja korporat untuk mengurangkan kebergantungan kepada penyaman udara.
Dalam masa sama, ujarnya, meningkatkan penggunaan teknologi hijau seperti pemasangan panel solar fotovolta, lampu LED cekap tenaga dan sistem pengurusan bangunan pintar di fasiliti PBT.
Selain itu, katanya, audit tenaga berkala dan perancangan jangka panjang bagi mengenal pasti peluang penjimatan di bangunan, lampu jalan, pasar awam, taman rekreasi dan infrastruktur tempatan.
“(Dan) promosi kesedaran komuniti melalui kempen setempat supaya penduduk turut mengamalkan penjimatan tenaga di rumah dan premis perniagaan,” katanya.
Jelasnya, KPKT akan mengeluarkan surat edaran melalui JKT kepada semua PBT bagi memastikan pelaksanaan yang seragam dan berkesan.
Dalam masa sama, tambah beliau, pengawasan akan dilakukan secara berkala bagi mengukur impak penjimatan yang dicapai.
“Penjimatan tenaga di peringkat PBT adalah sebahagian daripada usaha holistik Kerajaan untuk memperkukuh ketahanan negara terhadap cabaran global.
“Setiap kilowatt yang dijimatkan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Menurut beliau, KPKT mengalu-alukan kerjasama erat daripada semua PBT, agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam merealisasikan agenda demi kelangsungan ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















