KUALA LUMPUR – Malaysia Aviation Skills Standard Association (MASSA) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bersama ASEAN Universiti International semalam, selaras dengan agenda nasional dalam memperkukuh pembangunan tenaga mahir dan daya tahan tenaga kerja.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, sebagai satu langkah strategik dalam memastikan kelangsungan nilai profesional serta kebolehpasaran kru penerbangan Malaysia.
MASSA dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkembangan semasa industri penerbangan menunjukkan berlakunya pelarasan operasi oleh syarikat penerbangan, termasuk pengurangan jadual penerbangan dan pelaksanaan cuti tanpa gaji secara sukarela.
Situasi itu, ujarnya, memberi kesan langsung kepada kestabilan pendapatan serta kesinambungan kerjaya kru kabin, yang bergantung kepada operasi penerbangan secara aktif.
“Sehubungan itu, MASSA telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif pensijilan nasional yang mensasarkan sehingga 5,000 kru penerbangan Malaysia melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),” katanya.
Tambahnya, melalui pendekatan itu, pengalaman industri akan ditukarkan kepada kelayakan yang diiktiraf di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3; SKM Tahap 4 (Diploma) dan laluan perkembangan akademik seterusnya.
Ujarnya, inisiatif itu dijangka memberi impak signifikan kepada pembangunan tenaga kerja negara dengan meningkatkan kebolehpasaran kru penerbangan; memperluas mobiliti kerjaya merentas industri dan mengiktiraf pengalaman industri sebagai aset bernilai tinggi.
“Selain itu, MASSA turut akan memperkenalkan Program Penilai Kru Penerbangan yang dijangka mewujudkan lebih 250 peluang kerjaya baharu sebagai penilai, jurulatih dan pakar industri,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Presiden MASSA, Nur Zairahtul Amirah Kamallazim berkata, perkembangan semasa industri menuntut pendekatan yang lebih tersusun dalam melindungi nilai tenaga kerja.
“Inisiatif ini memastikan pengalaman kru penerbangan tidak hanya kekal relevan, malah diangkat sebagai kelayakan yang diiktiraf secara nasional,” katanya.
Pemeteraian MoA itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem TVET negara, selaras dengan keperluan industri serta aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di peringkat serantau. – MalaysiaGazette















