KUALA LUMPUR – Tindakan membandingkan dasar harga minyak Malaysia dengan Thailand jelas menunjukkan bercakap tanpa merujuk fakta sebenar, demikian menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan yang diberikan Ketua Pergerakan UMNO Malaysia Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh dan juga Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Kedua-dua pemimpin itu dilihat senada berkenaan cara Thailand menangani kos harga minyak yang melambung dengan menurunkan harga barang keperkuan asas.

Danish berkata, isu sebesar itu tidak boleh dibincangkan secara simplistik tanpa memahami struktur subsidi, mekanisme harga dan perlindungan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Jika benar mahu mengikut kaedah Thailand maka rakyat perlu tahu implikasinya secara jujur. Mengikut formula Thailand bermakna tiada BUDI95, tiada had 800 liter untuk e-hailing, tiada Fleet Card Diesel dan tiada bantuan tunai Budi Madani Diesel RM300 kepada golongan yang layak.

“Persoalannya, sanggupkah mereka melihat semua bentuk perlindungan ini dihapuskan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, tindakan bercakap tanpa fakta hanya menampakkan seolah-olah mahu membela rakyat namun hakikatnya cadangan yang dibawa akan menambah beban rakyat.

“Thailand sendiri mempunyai harga petrol yang lebih mahal daripada Malaysia manakala diesel mereka pula tidak jauh berbeza.

“Jadi kita nak tiru apa sebenarnya? Tiru harga yang lebih mahal atau tiru sistem tanpa perlindungan rakyat?

“Malaysia hari ini bukan sekadar mengurus harga tetapi melindungi majoriti rakyat melalui pendekatan bersasar dan bertanggungjawab,” tambahnya.

Jelasnya lagi tidak seharusnya kedua-dua pemimpin parti politik itu sekadar memetik nama negara lain untuk nampak bijak tetapi akhirnya mendedahkan ketidaktahuan sendiri.

“Malaysia menggunakan Automatic Pricing Mechanism (APM) berdasarkan purata harga minggu sebelumnya. Harga yang dibayar hari ini datang daripada kos minyak yang dibeli ketika harga global melonjak tinggi sebelum ini ketika petrol mencecah sekitar AS$150 setong dan diesel sehingga AS$250 setong.

“Jadi bila harga belum turun serta-merta jangan terus menyalak seolah-olah kerajaan gagal,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, hakikat gagal sebenar adalah mereka yang bercakap tanpa memahami mekanisme asas.

“Jika harga global kekal rendah, dalam tempoh satu hingga dua minggu, penurunan itu akan dirasai rakyat. Itu fakta. Bukan persepsi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Danish turut mengingatkan harga RON95 bersubsidi masih kekal pada RM1.99 seliter sebagai bukti komitmen kerajaan terus melindungi rakyat.

“Saya mahu menasihatkan agar semua pihak berhenti bermain politik murahan dalam isu yang menyentuh kehidupan harian rakyat kerana negara memerlukan pemimpin yang memahami dasar, bukan sekadar membuat perbandingan kosong tanpa fakta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast