WASHINGTON – YouTube memadam sebuah saluran milik kumpulan pro-Iran yang menghasilkan video kecerdasan buatan (AI) bertema LEGO tular yang memperlekehkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut platform milik Google itu pada hari Rabu, sekali gus mencetuskan kritikan dalam talian.
Explosive Media, sebuah kumpulan pencipta kandungan pro-Tehran yang menggambarkan mereka sebagai bebas tetapi secara meluas disyaki mempunyai kaitan dengan kerajaan Iran, telah meraih perhatian internet semasa perang AS-Iran melalui video animasi yang mengumpul jutaan tontonan.
“Kami menamatkan saluran tersebut kerana melanggar dasar spam, amalan mengelirukan dan penipuan kami,” kata seorang jurucakap YouTube kepada AFP, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Beliau menambah, saluran itu digantung pada 27 Mac lalu.
Bagaimanapun, Explosive Media masih menyiarkan video yang mempersendakan usaha perang AS di platform teknologi lain, termasuk X milik Elon Musk dan Telegram.
Instagram milik Meta juga telah menurunkan akaun kumpulan itu, lapor media AS, namun satu lagi akaun atas namanya masih aktif pada hari Rabu.
Meta bagaimanapun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen AFP berhubung perkara itu.
Mengkritik YouTube, Explosive Media menulis di X: “Serius! Adakah animasi gaya LEGO kami benar-benar bersifat ganas?”
Penggantungan oleh YouTube dilihat mempunyai kesan terhad terhadap capaian Explosive Media, dengan videonya masih dikongsi secara meluas oleh pencipta kandungan di platform tersebut.
Video satira itu yang memanfaatkan budaya popular AS, menggambarkan Trump dengan `kepala kuning yang besar’ dan sebagai seorang figura `tua, terasing dan cenderung kepada tantrum kebudak-budakan’, seolah-olah terpisah daripada realiti.
Selepas gencatan senjata dua minggu diumumkan minggu lalu, kumpulan itu menyiarkan video di X dengan kapsyen: “TACO will always remain TACO,” merujuk kepada akronim “Trump always chickens out.”
Dengan muzik latar dramatik, video itu memaparkan figura mainan mirip Trump berkumpul bersama pemimpin Arab, membaling kerusi ke arah anggota tentera AS, sementara Jeneral Iran menekan butang merah bertulis “Back to the Stone Age,” lalu mencetuskan kemusnahan besar di seluruh Asia Barat.
Meme video berbentuk kartun yang diperkuat oleh misi diplomatik Iran dan akaun pro-Tehran di media sosial itu kini muncul sebagai alat perang maklumat yang berkesan, satu fenomena yang digelar oleh penganalisis sebagai “Legofikasi” propaganda konflik.
Kandungan berbahasa Inggeris Explosive Media dilihat menyasarkan penonton di luar Iran, di mana platform seperti X telah disekat selama bertahun-tahun dan hanya boleh diakses melalui VPN.
Dengan rakyat Iran berdepan apa yang digelar oleh pemantau NetBlocks sebagai “gangguan internet,” keupayaan Explosive Media menghasilkan dan memuat naik kandungan yang berkualiti tinggi telah mencetuskan syak wasangka tentang kaitannya dengan rejim Iran.
Kumpulan itu bagaimanapun menolak dakwaan tersebut sebagai “penyelewengan media.” – AFP
















