Muszaide Makmor (dua kanan) melawat Sungai Sedeli Kecil yang sudah kering akibat kemarau di Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI  – Usaha pihak Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) yang mahu menyalurkan air dari loji Sungai Lebam ke Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng diharap dapat dilaksanakan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor berkata, langkah tersebut akan meringankan beban kira-kira 25,000 penduduk yang berdepan masalah tersebut.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi berkata, perkara itu sudah diusulkan sejak tiga tahun lalu, namun masih tidak dilaksanakan.

“Pelaksanaan ini boleh membantu mengatasi isu air melibatkan penduduk di gugusan Felda Lok Heng dan gugusan Waha untuk jangka masa pendek.

“Gangguan bekalan air ini berlarutan sejak lebih 10 hari lalu berpunca daripada kemarau berpanjangan.

“LRA Lok Heng yang bergantung kepada sumber dari Sungai Ulu Sedili Kecil kini tidak mampu menampung kerana paras airnya yang menyusut mendadak,” katanya selepas melawat Sungai Ulu, Sungai Sedeli Kecil di sini, hari ini.

Beliau berkata, kapasiti penduduk terjejas yang menggunakan air dari LRA Lok Heng setiap hari biasa melibatkan 25,000 orang, tidak termasuk penambahan penduduk daripada generasi kedua.

“Isunya air yang dibekalkan di LRA Lok Heng ini hanya berpunca daripada sungai Ulu, Sungai Sedeli Kecil ini. Bila kemarau berpanjangan ia kering dengan jangkaan kemarau hingga Jun. Penduduk hanya dapat menyambut raya dengan air seminggu, selepas itu tiada air.

“Saya berharap isu ini diambil berat oleh kerajaan negeri. Kita tahu kerajaan negeri amat prihatin dan dapat menjadikan isu air ini salah satu perkara utama untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, langkah alternatif juga sedang dibuat membabitkan pengambilan air masin yang diproses dari Sungai Lukah ke LRA Lok Heng selain proses pembenihan awan yang akan dilakukan 22 April ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast