KOTA TINGGI – Seorang remaja yang bekerja di kedai makan maut selepas kereta dipandu kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 42 Jalan Kota Tinggi-Kluang dekat sini semalam.
Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa, Muhammad Khairil Amirin Nariman berusia 17 tahun dan beralamat di Perumahan Baru Ladang Sedenak, Kulai, meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan itu pada pukul 6.14 petang.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Isuzu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan kereta Proton Wira dipandu mangsa.
“Insiden tersebut berlaku apabila kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar tayar hadapan sebelah kanan lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, tangan, kaki dan badan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi pada hari sama.
Katanya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan manakala pemandu lori turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
Yusof berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000.
Beliau menambah, pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun.- MalaysiaGazette
















