Radin Imran Radin Mohd. Yassin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – “Saya cuma kesal kerana dia tidak ajak saya ikut bersama,” demikian reaksi bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor ketika dimaklumkan oleh seorang pegawai polis berhubung kematian anak lelakinya dalam kejadian serangan, dua tahun lalu.

Asisten Superintendan (ASP) Cassidy Anak Banta, 42, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, kata-kata itu diluahkan oleh Radin Imran Radin Mohd. Yassin (tertuduh pertama) ketika dimaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anaknya Radin Luqman (penyerang).

Menurut Cassidy yang ketika itu bertindak sebagai pegawai tangkapan, ibu penyerang, Rosna Jantan (tertuduh ketiga) pula menyatakan `Alhamdulillah, baguslah tu’ ketika dimaklumkan perkara serupa.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan, saksi yang kini pegawai penyiasat kanan berkata, beliau boleh mendengar dengan jelas pasangan itu menyatakan demikian kerana berdiri bersebelah dengan mereka.

Cassidy memberi keterangan pada perbicaraan kes lima anggota keluarga penyerang balai polis tersebut yang berdepan sembilan pertuduhan berkaitan keganasan.

Radin Romyullah Radin Imran iaitu seorang daripada lima ahli keluarga terkait kes serangan Balai Polis Ulu Tiram, tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. (GAMBAR FAIL)

Cassidy yang merupakan saksi pendakwaan kelima (SP5) berkata, beliau menerima arahan pada pukul 7 pagi, 17 Mei 2024, supaya mengetuai sepasukan polis membuat pemeriksaan di rumah keluarga penyerang tersebut di Kampung Sungai Tiram.

Si mati kemudian disahkan bernama Radin Luqman.

Ujarnya, pasukan serbuan kemudian menahan kesemua penghuni rumah termasuk pasangan berkenaan dan tiga anaknya bersabit laporan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, polis turut merampas barang-barang kes termasuk telefon tangan, buku latihan yang tertera nama tertuduh, buku jihad, senapang angin panjang dan beg uncang mengandungi guli.

Katanya, beliau kemudian membuat laporan polis pada 3.46 petang, hari sama sebelum membawa suspek dan barang kes ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor pukul 5 petang.

Dalam pernyataan saksinya, Cassidy berkata, sebelum ke rumah keluarga tersebut, beliau mendapat arahan untuk ke Balai Polis Ulu Tiram pada pukul 3.30 pagi, 17 Mei 2024 bersangkut laporan serangan di balai itu yang mengorbankan dua anggota.

“Apabila pasukan saya memasuki tempat kejadian, saya melihat terdapat tiga mayat bergelimpangan. Satu daripadanya berpakaian seragam polis ditemukan di parkir motosikal di balai berkenaan.

“Dua mayat lagi dijumpai di tepi pagar berhampiran kereta perisai polis di hadapan balai tersebut.

“Satu daripada mayat di tepi pagar tersebut memakai pakaian seragam operasi polis manakala satu lagi orang awam,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Mengikut pertuduhan, ibu penyerang balai, Rosna, 61, didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 dan 17 Mei 2024.

Bapa penyerang, Radin Imran, 64, pula didakwa atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Sementara itu, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.

Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Ahmad Azza Fahmi, 24, dan Muhamad Syafiq, 26, terkorban manakala Mohd Hasif, 40, cedera ditembak di bahu dan punggung kiri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor bersambung 27 April ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast