PELABUHAN KLANG – Bongkah abu al-Quran seberat 1.5 tan dilepaskan ke laut berhampiran Pelabuhan Klang hari ini.
Program tersebut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, abu tersebut terhasil daripada proses pemurnian sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran dengan anggaran keseluruhan RM2.7 juta.
“Kalau mushaf al-Quran itu berlaku ketidakpatuhan atau maka kerja bahagian kawalan dan penguatkuasaanlah untuk ambil tindakan.
“Kalau berubah baris , al-Quran, penambahan, maka ia termasuk pelanggaran standard dan boleh dirampas dan kemudian ada kaedahnya (pelupusannya),” katanya ketika sidang media di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malysia (APMM).
Jelas Saifuddin, ia seiring dengan usaha pemurnian KDN melalui Bahagian
Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) sentiasa komited mempergiatkan Ops Mulia bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini, sebanyak 1,758 premis telah diperiksa dengan nilai penguatkuasaan berjumlah RM378,171.
Jelas Saifuddin, sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran telah disita kerana melanggar peruntukan undang-undang, manakala 44 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.
“KDN menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran merangkumi keseluruhan rantaian termasuk aspek penerbitan, pencetakan, pengimportan, pengedaran, pemurnian dan pelupusan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
“Sehubungan itu, KDN akan terus komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan kawal selia secara berterusan bagi memastikan kemaslahatan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Terdahulu, Program Pemurnian Al-Quran hari ini dijalankan pada jaran kira-kira 13 batu nautika dari daratan dengan kedalaman sekitar 10 meter.
Program dilaksana dengan garis panduan pelupusan yang telah ditetapkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Perlesenan PercetakanAl-Quran (LPPQ). – MalaysiaGazette
















