PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyangkal laporan media baru-baru ini yang mendakwa seluas 127.3 hektar kawasan di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, angka tersebut adalah tidak tepat.
Menurutnya, fakta sebenar menunjukkan hanya 123 hektar kawasan yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini sah berada di bawah wilayah Indonesia hasil daripada penjajaran semula sempadan.
“Proses penjajaran semula ini sebenarnya memberikan impak positif secara keseluruhan kepada kedaulatan wilayah negara melalui pendekatan ‘penyelesaian berpakej’.
“Di Pulau Sebatik, Malaysia memperoleh tambahan wilayah seluas lima hektar yang sebelum ini milik Indonesia, manakala 123 hektar diserahkan kepada Indonesia untuk mematuhi prinsip Boundary Convention 1891.
“Di Sg. Sinapad dan Sg. Sesai pula melalui pakej rundingan yang sama, Malaysia berjaya memperoleh pertambahan wilayah yang signifikan seluas 780 hektar yang sebelum ini berada dalam wilayah Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, isu ini berakar umbi daripada Boundary Convention 1891 antara British dan Belanda yang menetapkan sempadan di Pulau Sebatik pada garis latitud 4º 10’ Utara.
“Semakan teknikal pada 1983 mendapati terdapat perbezaan antara rekod di lapangan dengan perjanjian asal.

“Pengukuran semula menggunakan teknologi moden telah dilaksanakan pada 2019 bagi memastikan jajaran sempadan adalah tepat dan sah dari segi undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.
Arthur turut menambah NRES menekankan pemuktamadan jajaran ini bukanlah satu kehilangan mengejut, sebaliknya hasil rundingan diplomatik dan teknikal yang memakan masa lebih 45 tahun.
“Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Malaysia dan Republik Indonesia pada 18 Februari 2025.
“MoU ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam menyelesaikan isu persempadanan secara aman dan berhemah,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, secara keseluruhan proses ini dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama, selaras undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan prinsip pampasan atau pertimbangan untung-rugi semata-mata.
“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa dilibatkan dalam setiap peringkat rundingan melalui Jabatan Ketua Menteri, Pejabat Peguam Besar Negeri, dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTUS).
“Pada masa sama, pihak kementerian menasihati media dan orang ramai agar mendapatkan pengesahan daripada sumber berautoriti sebelum menyebarkan maklumat berkaitan sempadan negara bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi yang tidak tepat,” katanya. – MalaysiaGazette
















